GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sub varian BA.2 Omicron kini didapati menggantikan varian asal BA.1 Omicron yang mendominasi penyebaran Covid-19 di Sarawak.

Ia berdasarkan 686 sampel kes positif dari seluruh negeri yang diuji Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dalam tempoh 11 Januari hingga 28 Februari lalu.

Pengarah IHCM Prof Dr David Perera berkata, hasil ujian mengesan beberapa sub varian terdiri daripada 16 kes BA.1; 339 kes BA.1.1; dan 331 kes BA.2.

"Namun yang menariknya, pada minggu terakhir bulan Februari, sub varian BA.2 didapati mewakili lebih 90 peratus daripada semua sampel pada minggu itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam laporan terbarunya kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap peningkatan risiko penularan komuniti bagi sub varian BA.2 Omicron.

"Orang ramai harus peka dengan risiko penularan komuniti yang semakin meningkat.

"Mereka harus mendapatkan suntikan penggalak dengan segera jika belum melakukannya," katanya.

Menurutnya lagi, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini mengumumkan bahawa sub varian BA.2 adalah 30 peratus lebih pantas berjangkit, berbanding varian asal BA.1 Omicron.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 4:53 PM