GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuching: Sebanyak empat kes B.1.1.1.529 atau varian Omicron dikesan di Sarawak, kata Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (ICHM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Prof David Perera.

Beliau berkata, dua daripada kes dilaporkan dari Bintulu membabitkan seorang lelaki berusia 52 tahun yang pulang dari Nigeria dan menjalani ujian swab pada 19 Disember, dan lelaki berusia 19 tahun yang pulang dari United Kingdom yang telah melakukan ujian swab pada 14 Disember.

"Dua lagi kes dikesan di Kuching. Satu kes membabitkan seorang wanita berusia 25 tahun yang pulang dari United Kingdom. Beliau melakukan ujian swab pada 22 Disember manakala kes lain ialah seorang wanita yang tidak mempunyai sejarah perjalanan, berkemungkinan kes penularan tempatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Parera yang juga ahli Kumpulan Penasihat Covid-19 Sarawak (SCOVAG) berkata, memandangkan kes varian Omicron kes tempatan ini berkemungkinan mudah merebak dalam komuniti, maka orang ramai digesa supaya berhati-hati semasa meraikan sambutan Krismas, cuti Tahun Baharu dan hujung tahun.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan suntikan dos penggalak jika mereka belum berbuat demikian kerana kajian telah menunjukkan bahawa suntikan dos itu perlu untuk meningkatkan tahap antibodi secara neutral bagi melindungi diri daripada jangkitan Omicron.

"SOP (prosedur operasi standard) kesihatan awam perlu dipatuhi dengan ketat dan jika boleh elakkan berhimpun bagi mencegah penularan lebih teruk," katanya.

Pada 18 Disember, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, dua kes Covid-19 varian Omicron direkodkan di Sarawak pada 17 Disember, masing-masing membabitkan pengembara dari United Kingdom dan Amerika Syarikat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 3:27 PM