GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Varian Omicron kini menggantikan Delta sebagai varian Covid-19 paling dominan di Sarawak.

Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Profesor Dr David Perera berkata, kadar pengesanan 78 peratus Omicron ditemui daripada data pengawasan kes positif yang dijalankan antara 3 Januari hingga 26 Januari lalu.

Beliau berkata, pengesanan itu adalah hasil ujian terhadap 58 sampel yang diambil dalam tempoh itu.

"Daripada jumlah itu, 45 varian Omicron dikesan manakala 13 lagi adalah varian Delta VoG.

"Kadar pengesanan 78 peratus menunjukkan Omicron kini menggantikan Delta sebagai varian dominan di Sarawak," katanya.

Beliau mendedahkan perkara itu dalam laporan terbarunya kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hari ini.

Dr David berkata, varian Omicron itu dikesan dalam sampel yang diambil di Kuching, Samarahan, Sibu, Kapit, Mukah dan Miri.

"Kebanyakan kes itu dikesan berlaku melalui penularan dalam komuniti," katanya.

Menurutnya, berikutan peningkatan semula kes positif Covid-19 di negara ini, beliau yang juga ahli Kumpulan Penasihat Vaksin Covid-19 Sarawak (SCoVAG) menasihatkan orang ramai yang belum menerima dos penggalak supaya mendapatkannya segera.

Ini kerana katanya, kajian menunjukkan dos penggalak perlu untuk meningkatkan penurunan paras antibodi bagi melindungi daripada jangkitan Omicron.

Peningkatan semula kes positif Covid-19 direkodkan di Sarawak semalam apabila sebanyak 42 kes dilaporkan, berbanding 22 kes pada hari sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 2:32 PM