GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Melvin Joni

Kuching: Subvarian BA.5 didapati menyumbang sebanyak 32.8 peratus atau satu pertiga daripada kes positif Covid-19 di Sarawak sejak Jun lalu.

Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Prof Dr David Perera berkata, dari 2 April hingga 13 Julai tahun ini sebanyak 165 sampel diperoleh di seluruh negeri.

Dalam laporan terbarunya kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, beliau berkata, kesemuanya dikesan sebagai B.1.1.529, varian membimbangkan (VOC).

"Daripada sampel itu, sebanyak 121 dikesan sebagai beberapa sub-kecil BA.2, satu kes dan pengesanan pertama BA.4 dan 43 sampel BA.5 dilaporkan.

"Walaupun BA.2 VOC terus menjadi subvarian yang dikesan utama sepanjang tempoh pengawasan ini, peningkatan dalam pengesanan BA. 5 VOC diperhatikan.

"Dari awal Jun, kira-kira satu pertiga (32.8 peratus) daripada semua pengesanan adalah daripada subvarian ini (BA.5)," katanya.

Dr David menambah pemerhatian di Sarawak itu selaras dengan penularan Omicron VOC di dunia yang menyaksikan peningkatan pesat kadar pengesanannya di banyak negara.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai amat dinasihatkan supaya peka dengan risiko peningkatan kadar jangkitan di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 11:30 AM