DOKTOR perubatan di hospital kerajaan Dr Neoh Soon Khai, 39, (tengah) didakwa di Mahkamah Majistret hari ini, atas pelbagai kesalahan menyimpan barangan curi. FOTO BERNAMA
DOKTOR perubatan di hospital kerajaan Dr Neoh Soon Khai, 39, (tengah) didakwa di Mahkamah Majistret hari ini, atas pelbagai kesalahan menyimpan barangan curi. FOTO BERNAMA
BERNAMA

DOKTOR di hospital kerajaan didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown, hari ini atas pertuduhan menyimpan barangan curi, April lalu.

Tertuduh Dr Neoh Soon Khai, 39, dari Gurney Park, Jalan Kelawai di Georgetown menghadapi 11 pertuduhan dan dituduh dua mahkamah majistret.

Bagaimanapun, hanya dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap dan Majistret Rosnee Mohd Radzuan kerana peguam K Mahendran yang mewakili Dr Neoh memaklumkan anak guamnya pernah mendapatkan rawatan psikiatri.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Dr Neoh bagi kedua-dua pertuduhan dan mahkamah kemudian membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali supaya tertuduh dihantar menjalani pemeriksaan mental selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Mengikut pertuduhan pertama, Dr Neoh didakwa memiliki harta curi iaitu kad pengenalan kepunyaan Ong Chong Chow Jonathan di sebuah unit Gurney Park Condo, Jalan Kelawai, Georgetown pada 7.55 malam, 23 April lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyimpan harta curi iaitu kad pengenalan dan pasport milik Wong Wei Ye tanpa kebenarannya di sebuah bilik di unit rumah, masa dan tarikh yang sama.

Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah menetapkan 29 Julai ini untuk sebutan semula sementara menunggu laporan Hospital Bahagia Ulu Kinta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 5:32 PM