Raja Noraina Raja Rahim

Gombak: Ahli perniagaan bergelar Datuk dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menjadikan empat rumah milik mereka di Rawang sebagai tempat perjudian pada Julai lalu.

Bagaimanapun, Liow Lian Keong, 40, dan isteri, Chen Lye Kuen, 41, mengaku tidak bersalah bagi empat pertuduhan termasuk satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa secara berasingan di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Mengikut tiga pertuduhan, Liow didakwa menggunakan tiga kediaman dimilikinya di Bandar Country Homes, Rawang di sini, sebagai rumah perjudian terbuka.

Kesalahan itu dikesan dilakukan antara 5.15 petang hingga 6.15 petang pada 6 Julai lalu.

Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama membawa hukuman denda antara RM5,000 hingga RM50,000 dan penjara sehingga tiga tahun serta boleh dikenakan denda dengan jumlah sama bagi setiap mesin judi dirampas.

Sementara itu, Chen turut didakwa menjadikan sebuah kediaman miliknya sebagai rumah judi terbuka pada 5.30 petang pada tarikh dan lokasi sama.

Liow dan Chen bersama peguam mereka ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang di Gombak hari ini. Foto Asyraf Hamzah
Liow dan Chen bersama peguam mereka ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang di Gombak hari ini. Foto Asyraf Hamzah

Berikutan itu, tertuduh juga didakwa atas kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Muhammad Nor Izzat Nordin, Thomas Chin S W dan Matthews.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 20 Disember depan untuk serahan dokumen.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan kegiatan Datuk Ken yang menjadikan empat rumah di sekitar kawasan Country Homes, Rawang, sebagai markas operasi judi.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed dipetik berkata, pihaknya menahan 12 lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 17 hingga 40 tahun pada 6 Julai lalu yang dikesan menjalankan aktiviti mempromosikan perjudian dalam talian sejak setahun lalu.

Susulan penahanan 13 individu itu, polis berjaya memberkas suspek utama iaitu Datuk Ken bersama isterinya di sebuah rumah di Rawang pada 11 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 12:08 PM