ANGGOTA bomba berusaha menurunkan pendaki warga emas yang terjatuh ketika menuruni bukit, hari ini. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba berusaha menurunkan pendaki warga emas yang terjatuh ketika menuruni bukit, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Rosli Ilham


Chukai: Seorang lelaki warga emas cedera di bahagian kepala dan pinggang selepas terjatuh ketika mendaki Bukit Pejajat, Telaga Simpul, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 9 pagi, Sabri Ali, 60, yang terkenal dengan jolokan 'pejalan kaki solo' terjatuh pada ketinggian enam meter ketika dalam perjalanan menuruni bukit itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zailani Abdullah berkata, mangsa dikatakan mendaki bersendirian dan ketika dalam perjalanan turun, tali digunakan untuk memanjat bukit berbatu itu putus secara tiba-tiba.

Beliau berkata, kejadian itu disedari seorang pendaki lain sebelum segera menghubungi pasukan keselamatan.

"Sepasukan 17 anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian dan mangsa dibawa turun dengan menggunakan pengusung melalui lereng bukit berbatu sejauh 100 meter dalam masa satu jam.

"Kami menggunakan bot untuk membawa mangsa berikutan lokasi tempat mangsa terjatuh berdekatan dengan pantai berbanding laluan darat yang berisiko," katanya.

Zailani berkata, mangsa dibawa dengan ambulans ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan lanjut.

Sabri, yang tinggal di Kampung Bukit Kuang, mencatat nama dalam The Malaysia Book of Records pada 2016 sebagai pejalan kaki solo paling jauh dengan berjaya menamatkan jarak perjalanan sejauh 2,109.17 kilometer dengan 49 lokasi merentasi 14 negeri.

Habis.

From: ZUBIR

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 5:59 PM