NUR Aisyah bersama suami. FOTO Agensi
NUR Aisyah bersama suami. FOTO Agensi
Agensi

New York: Seorang pelancong dari Singapura maut selepas terjatuh dari tebing Taman Negeri Minnewaska New York dengan ketinggian kira-kira 21 meter, ketika merakam gambar bersama suaminya, 21 Disember lalu, lapor Agensi Mirror.

Ketika kejadian, mangsa Nur Aisyah MD Akbar, 39, bersama suami dalam perjalanan mendaki di wilayah Lembah Hudson yang menjadi tumpuan pejalan kaki.

Polis negeri berkata, Nur Aisyah berhenti untuk merakamkan gambar suaminya sebelum tergelincir dari tebing di Beacon Hill Trail di Taman Negeri Minnewaska.

"Kira-kira, jam 1.06 tengah hari pada 22 Disember, anggota tentera dari Polis Negeri Ellenville dihantar ke taman Negeri Minnewaska di Bandar Rochester selepas menerima laporan mengenai seorang pejalan kaki yang cedera.

"Siasatan awal mendapati Nur Aisyah MD Akbar berusia 39 tahun dan suaminya Abdul Rauf Mohd Said berusia 41 tahun kedua-duanya dari Singapura sedang mendaki di Beacon Hill Trail apabila mereka berhenti untuk mengambil gambar di tepi tebing. Nur Aisyah terjatuh dari tebing, kira-kira 70 kaki (kira-kira 21 meter).

"NYSP Aviation dipanggil untuk mengangkat mangsa ke tempat selamat. Agensi bertindak balas lain yang membantu dalam menyelamat termasuk Polis NYS Park, Kakitangan Operasi Taman, NYS DEC Forest Renjer, dan pelbagai kakitangan Bomba dan EMT. Nur Aisyah dibawa ke Hospital Wilayah Ellenville dan meninggal dunia akibat kecederaannya. Kejadian masih dalam siasatan," menurut laporan itu.

Menurut laporan sama, suami wanita itu segera menelefon talian kecemasan 911 untuk meminta bantuan.

Unit penerbangan Polis Negeri New York tiba di lokasi kejadian untuk mengangkat mangsa dan dibawa ke Hospital Wilayah Ellenville di Daerah Ulster. Namun, Nur Aisyah dilaporkan meninggal dunia ketika di hospital.

Nur Aisyah berjalan kaki bersama suaminya di sepanjang Laluan Bukit Beacon, sejauh 35.1 kilometer.

Taman Negeri Minnewaska terkenal dengan pemandangan Pergunungan Catskill dan ia adalah tempat biasa untuk mendaki, berbasikal gunung dan berenang di tasik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2023 @ 3:08 PM