Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kerajaan mempertimbangkan semula kadar tarif elektrik negara ini untuk tempoh 2022 sehingga 2024 bagi mengurangkan bebanan kepada rakyat.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan mengenai tarif baharu elektrik untuk tempoh tiga tahun itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Katanya, kerajaan sudah mengkaji dengan mengambil kira keadaan negara ini yang baru pulih daripada Covid-19 dan krisis ekonomi.

"Pengisytiharan mengenai tarif elektrik itu akan diumumkan oleh kerajaan dalam masa terdekat. Jumlah keseluruhan pengguna elektrik di seluruh negara adalah sebanyak 8 juta dan 85 peratus daripadanya adalah pengguna domestik dan selebihnya komersial dan industri.

"Saya memberi jaminan bahawa kadar tarif elektrik baharu ini tidak akan memberi bebanan kepada rakyat terutama pengguna domestik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Persatuan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Kelab di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu di Jalan Bayam, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, kadar tarif elektrik untuk pengguna industri dan komersial juga mungkin akan ada pengubahsuaian.

Pada perkembangan lain, beliau berkata, semua bekalan elektrik di lokasi yang terjejas banjir termasuk Selangor dan Pahang sudah pulih 100 peratus iaitu yang menggunakan aliran biasa serta jana kuasa mobil.

"Namun, ketika ini, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam tempoh untuk membaik pulih tiang elektrik yang terjejas. Banyak lagi tiang yang perlu dibaiki yang memerlukan kos ratusan juta ringgit," katanya.

TAKIYUDDIN (kanan)  berucap ketika Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Persatuan, NGO dan Kelab. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TAKIYUDDIN (kanan) berucap ketika Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Persatuan, NGO dan Kelab. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 1:48 PM