ANWAR ketika sidang media selepas mempengerusikan Pasca MTEN. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ANWAR ketika sidang media selepas mempengerusikan Pasca MTEN. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Hazwan Faisal Mohamad


Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isi rumah yang menggunakan elektrik pada jumlah yang amat tinggi tidak lagi akan menikmati subsidi daripada kerajaan.

Perdana Menteri berkata, rumah perseorangan yang penggunaan elektriknya sangat tinggi umpama rumah itu guna tiga kipas dan empat penyaman udara, maka mereka harus membayar kos sebenar dan tidak menikmati subsidi.

"Maknanya, B40 dan M40 tiada kenaikan (tarif elektrik), tetapi rumah-rumah yang menggunakan elektrik yang tinggi akan dikenakan bayaran ikut harga pasaran.

"Ini kena faham, tiada kenaikan bagi 90 peratus rakyat, tetapi bagi rumah-rumah yang menggunakan elektrik berlebihan termasuk penggunaan penyaman udara yang banyak (akan ada kenaikan tarif)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini. Turut hadir Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Perdana Menteri bagaimanapun tidak menyatakan bila penyelarasan kadar tarif elektrik akan dilaksanakan atau jumlah penggunaan yang akan dikategorikan sebagai 'penggunaan amat tinggi.'

Februari lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, dilaporkan berkata pemberian subsidi bagi tarif elektrik buat pengguna domestik kategori T20 perlu dilihat semula pada masa depan kerana golongan ini berkemampuan untuk membayar tarif yang lebih kompetitif.

Menurutnya, negara perlu beralih kepada subsidi secara bersasar dalam tarif elektrik dengan memastikan hanya golongan sasar memperoleh manfaatnya.

"Kita ada kerangka Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) untuk tetapkan tarif harga elektrik. Kita masih melindungi dan kekalkan kadar sama bagi pengguna domestik walaupun T20.

"Itu satu perkara yang bagi saya perlu fikir semula pada masa depan kerana kalau cakap soal tarif untuk T20, mereka dapat gaji besar dan perlu bayar tarif lebih kompetitif.

"Untuk M40 dan B40, saya setuju kita perlu melindungi mereka," katanya di Dewan Rakyat.

Tahun lalu, kerajaan memutuskan, tarif elektrik bagi pengguna bukan domestik bervoltan sederhana dan tinggi dikenakan surcaj pada kadar 20 sen/kWj.

Pada masa sama, Nik Nazmi mempertahankan kenaikan surcaj 3.7 sen/kWj kerana ia membabitkan operasi besar dan kerajaan tidak boleh meneruskan subsidi korporat.

Namun, beliau berkata, kerajaan akan memberi kadar tarif lebih baik kepada beberapa syarikat yang perkhidmatannya boleh memberi kesan kepada rakyat, termasuk utiliti melalui kitaran ICPT akan datang.

"Saya setuju ada beberapa syarikat terkesan (jika berlaku kenaikan tarif). Contohnya, syarikat utiliti yang memberi perkhidmatan kepada rakyat dan kita akan beri kadar lebih baik kepada mereka.

"Kita tidak boleh meneruskan subsidi korporat kerana korporat mendapat keuntungan besar berbanding kadar gaji dan sebagainya. Kita kena beralih kepada subsidi bersasar yang memberi manfaat kepada rakyat secara langsung," katanya.

Nik Nazmi berkata, kerajaan juga akan menggubal perundangan dalam soal keberkesanan tenaga supaya syarikat mengkaji cara lebih efisien untuk menghasilkan sesuatu produk.

"Kita mahu mereka mengamalkan keberkesanan tenaga sebab kita nak tarik pelabur, bukan atas dasar kos, tarif atau gaji rendah, sebaliknya disebabkan kita ada nilai tambah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 2:54 PM