Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) tidak menafikan dakwaan masyarakat Orang Asli bahawa pembukaan kawasan hutan untuk tujuan pembangunan menyebabkan habitat hidupan liar terancam sekali gus menjurus kepada serangan harimau belang di Pos Bihai, Gua Musang, baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan negeri tidak boleh dipersalahkan secara langsung dalam kejadian itu kerana mereka mempunyai hak dan pembukaan tanah hutan itu dibuat mengikut undang-undang.

"Secara umumnya oleh kerana aspek pembangunan juga perkara yang penting, memang ada undang-undang yang memberikan kuasa kepada kerajaan negeri untuk menebang balak.

"Setiap tahun ada catuan tebangan tahunan (CTT) yang ditetapkan oleh Majlis Tanah Negara, jadi kerajaan negeri ada hak keluarkan lesen membalak dan itu menjadi pendapatan kepada negeri, jadi tak boleh nafikan.

"Namun dalam masa sama apabila hutan ini dibalak, perlu juga diadakan proses penggantian untuk menanam balik sama ada dalam bentuk ladang hutan dan sebagainya," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, pendirian untuk menyeimbangkan antara kepentingan pembangunan serta kelestarian alam apabila pembangunan dibuat maka akan ada lokasi termasuk kawasan hutan terpaksa dibuka bagi membolehkan pembinaan lebuh raya, jalan raya dan sebagainya.

Menurutnya, pihaknya berharap tindakan pembukaan kawasan hutan itu ada kawalan atau penyelesaian lain seperti contoh Majlis Tanah Negara yang bermesyuarat pada Disember lalu memutuskan untuk mengenakan moratorium kepada semua kerajaan negeri agar tidak meluluskan pembukaan kawasan hutan untuk tujuan ladang hutan.

TAKIYUDDIN pada sidang media selepas menyampaikan Sumbangan Kepada wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Kelab Kebajikan Kelantan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TAKIYUDDIN pada sidang media selepas menyampaikan Sumbangan Kepada wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Kelab Kebajikan Kelantan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Tujuan sekatan selama 15 tahun itu adalah bagi menyekat pembukaan ladang hutan sebelum menggantikan terlebih dahulu hutan yang sudah dibuka.

"Apabila kerajaan negeri meluluskan (pembukaan) ladang hutan, hutan boleh ditebang habis dan sebaik mengetahui pembukaannya tidak ditanam semula, kerajaan persekutuan memutuskan untuk mengenakan larangan pembukaan kawasan hutan baharu selama 15 tahun," katanya.

Dalam usaha melindungi Harimau Malaya yang mengalami kepupusan, Takiyuddin berkata, kementeriannya tidak berpeluk tubuh sebaliknya menubuhkan jawatankuasa Malaysian Tiger Task Force (MTTF) bagi menjaga hidupan liar dan habitat dalam hutan agar tidak terjejas.

Katanya, perlindungan daripada pemburu haram juga dipergiatkan apabila pindaan dibuat dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dengan meningkatkan jumlah denda kepada pesalah daripada RM500,000 kepada RM1 juta manakala penjara ditambah daripada 10 tahun kepada 15 tahun.

"Pemburu haram memperoleh pendapatan jutaan ringgit untuk binatang yang dibunuh, malah organnya dijual dan kami memandang serius terhadap ancaman sebegini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 4:33 PM