Foto hiasan. - Freepik
Foto hiasan. - Freepik
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seorang lelaki bertindak memaki pengawal keselamatan di kawasan kediamannya di Taman Sri Sentosa, di sini, selepas kad akses masuk miliknya tidak dapat digunakan.

Kejadian 9.30 pagi kelmarin itu kemudian tular di media sosial selepas dimuat naik seorang pemilik akaun Twitter melalui satu pautan dan menerima 24 tanda suka, satu komen serta lapan ulang ciap (retweet).

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya mengesan video berdurasi satu minit 14 saat itu, 8.59 pagi semalam.

Katanya, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun.

"Menurut pengadu, suspek yang memandu sebuah BMW adalah penghuni di kawasan kediaman terbabit.

"Suspek dikatakan membuat kekecohan beberapa kali dan enggan memberikan kerjasama terhadap pengawal keselamatan dengan memarahi serta memakinya menggunakan perkataan kesat.

"Pengadu sebagai saksi kejadian merekod perselisihan faham yang berlaku itu menggunakan telefon bimbit miliknya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata, hasil siasatan, polis mendapati kad akses masuk suspek tidak dapat digunakan yang mencetuskan pertengkaran dengan perbuatan lelaki itu dirakam pengawal bertugas.

"Orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video tular itu memandangkan pengadu dan suspek sudah menyelesaikan permasalahan berkenaan secara baik.

"Pengadu juga sudah menarik laporan dan tidak mahu pihak polis meneruskan siasatan," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan perlakuan jenayah di daerah itu supaya menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 9:40 AM