TANGKAP layar rakaman video menunjukkan sekumpulan lelaki merusuh dan melakukan khianat pecah cermin kereta terhadap beberapa kereta yang diparkir di tepi Jalan Radin Bagus, Sri Petaling, Kuala Lumpur yang tular di media sosial. FOTO IHSAN PEMBACA
TANGKAP layar rakaman video menunjukkan sekumpulan lelaki merusuh dan melakukan khianat pecah cermin kereta terhadap beberapa kereta yang diparkir di tepi Jalan Radin Bagus, Sri Petaling, Kuala Lumpur yang tular di media sosial. FOTO IHSAN PEMBACA
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menahan tiga lelaki yang disyaki terbabit dalam insiden rusuhan dan perbuatan khianat terhadap beberapa kereta yang diparkir di tepi Jalan Radin Bagus, Sri Petaling, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, semua suspek yang ditahan berusia antara 20 hingga 41 tahun.

"Semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk permohonan reman.

"Usaha mengesan suspek yang masih bebas masih diteruskan. Individu yang terbabit dalam insiden itu diminta tampil untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 148/427 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Terdahulu, satu video menunjukkan sekumpulan lelaki merusuh dan melakukan khianat pecah cermin kereta terhadap beberapa kereta tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2022 @ 9:40 AM