BEKAS setiausaha politik kepada bekas menteri kanan dan pemilik syarikat ditahan SPRM selepas disyaki terbabit rasuah bagi meluluskan projek bernilai RM80 juta. FOTO Ihsan SPRM
BEKAS setiausaha politik kepada bekas menteri kanan dan pemilik syarikat ditahan SPRM selepas disyaki terbabit rasuah bagi meluluskan projek bernilai RM80 juta. FOTO Ihsan SPRM
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Bekas setiausaha politik bekas menteri kanan antara dua ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bagi projek bernilai RM80 juta.

Sumber berkata, lelaki berusia 20-an itu ditahan bersama seorang lagi lelaki berusia 50-an yang juga pemilik sebuah syarikat ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, 11 malam tadi.

"Suspek disyaki meminta dan menerima rasuah sebagai balasan meluluskan projek percetakan buku bernilai RM80juta membabitkan sebuah kementerian secara rundingan terus.

"Suspek kedua pula dipercayai bersubahat dengan bekas menteri kanan itu dengan meminta dan menerima rasuah melalui syarikatnya daripada kontraktor sebagai balasan meluluskan projek berkenaan," katanya.

Menurut sumber, kedua-dua suspek yang ditahan itu dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini, untuk permohonan reman.

Pendaftar Mahkamah, Nur Adilah Halid membenarkan reman terhadap kedua-dua suspek itu selama empat hari bermula hari ini sehingga 26 September.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 4:46 PM