Ahmad Hasbi


Seremban: Pesara dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan memperdayakan lelaki bagi urusan mendapatkan pekerja asing melalui program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).

Tertuduh, Mohd Logan Abdullah, 68, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Dia dituduh memperdayakan lelaki berusia 50 tahun dengan menjadi ejen mendaftarkan warga asing di bawah program RTK dan sengaja mendorong lelaki itu untuk membuat bayaran berjumlah RM63,000 bagi urusan tersebut.

Kesalahan dilakukan pada Mac 2021 sehingga 25 September 2021 di Green Street Homes, Seremban 2, di sini, dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang tidak sampai lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur 'Aqilah Syarfa Nik Zaidi, manakala tertuduh diwakili Peguam Jayaprakash Rao.

Terdahulu, Jayaprakash merayu anak guamnya diberi jaminan minimum mengambil kira tertuduh perlu menanggung isteri serta tiga anak selain mempunyai masalah jantung dan sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dan menetapkan 16 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Dalam pada itu, di kamar berbeza di hadapan Majistret Yusna Khadijah Md Yusop, tertuduh turut didakwa memperdaya seorang lelaki dalam urusan mendapatkan pinjaman peribadi daripada bank dan berkaitan pinjaman kereta.

MOHD Logan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini kerana menipu. FOTO Azrul Edham.
MOHD Logan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini kerana menipu. FOTO Azrul Edham.

Lelaki itu memasukkan cek berjumlah RM1,400 ke atas nama tertuduh yang mana dia tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan dilakukan di Green Street Homes 1, Seremban 2, di sini pada 29 Oktober 2005 dan pendakwaan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Ezzati Mohd Zainal dan tertuduh dibenar ikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 11:48 AM