Asrol Awang


Kuantan: Sebanyak 47 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di Pahang yang menempatkan 1,820 mangsa daripada 549 keluarga, setakat 8 pagi ini.

Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan, jumlah itu membabitkan mangsa banjir di sembilan daerah iaitu Pekan, Temerloh, Raub, Lipis, Bera, Maran, Rompin, Jerantut dan Kuantan.

Sementara itu, tiga sungai di Pahang masih merekodkan bacaan melepasi paras bahaya, masing-masing satu di Jerantut, Bera dan Pekan setakat, 8 pagi ini.

PENDUDUK mengharungi air banjir di Kampung Paya Panjang, Bera, semalam. FOTO BERNAMA
PENDUDUK mengharungi air banjir di Kampung Paya Panjang, Bera, semalam. FOTO BERNAMA

Menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sungai terbabit adalah Sungai Pahang di Paya Gintong, Jerantut yang merekodkan 45.20 meter (m) berbanding paras bahaya 45 m.

Turut melepasi paras bahaya ialah Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera dengan catatan 32.96 m berbanding paras bahaya 30.50 m dan Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan yang merekodkan 16.21 m berbanding paras bahaya 14.90 m.

Selain itu, enam sungai mencatatkan bacaan melebihi paras amaran, manakala paras waspada pula membabitkan sembilan sungai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 8:58 AM