Zaid Salim


Chukai: Bimbang 47 ayam peliharaan dihanyutkan banjir, pasangan suami isteri warga emas membina reban terapung bagi menempatkan haiwan berkenaan berhampiran rumah mereka di Kampung Batu 16, Tebak, di sini.

Bagi memastikan keselamatan haiwan ternakan terbabit, pasangan warga emas itu juga nekad tinggal di rumah mereka walaupun kediaman terbabit ditenggelami air sedalam 6.5 meter dalam kejadian banjir buruk yang melanda daerah ini, sejak Khamis lalu.

Abu Bakar Mohd, 66, berkata, dia membina reban ayam itu kerana tidak sanggup melihat haiwan terbabit mati dihanyutkan arus.

"Sebelum ini saya membela hampir 100 ayam denak untuk dijual tetapi sekarang hanya tinggal 47 ekor sahaja kerana selebihnya mati dihanyutkan arus banjir dalam kejadian akhir November lalu, mengakibatkan kerugian RM4,000.

"Tidak mahu kejadian itu berulang, saya membina reban terapung ini bagi mengapungkan reban berkenaan dan diikat pada tiang rumah bagi mengelak ia hanyut," katanya ketika ditemui di rumahnya di kampung berkenaan, hari ini.

Selain ayam ternakan berkenaan, Abu Bakar turut membela tiga kucing dan itulah juga antara sebab dia bersama isteri tidak mahu berpindah ke PPS kerana mahu menjaga haiwan terbabit.

Abu Bakar berkata, pengalaman berdepan banjir yang menenggelami rumahnya setiap kali tiba musim tengkujuh menyebabkan dia dan isteri sudah lali dengan keadaan itu.

Bagaimanapun, katanya, pada masa sama mengaku bimbang dengan keselamatan kerana air dalam serta arus laju.

ABU Bakar melihat ayam di dalam reban terapung yang dibina  dengan menggunakan tong plastik  berdekatan rumahnya. FOTO Ghazali Kori
ABU Bakar melihat ayam di dalam reban terapung yang dibina dengan menggunakan tong plastik berdekatan rumahnya. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 6:02 PM