HASHIM menunjukkan 14 lembu miliknya yang terselamat. FOTO BERNAMA
HASHIM menunjukkan 14 lembu miliknya yang terselamat. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Jerteh: Kesedihan yang dirasai seorang penternak Hashim Abdul Latif, 65, tidak dapat diluahkan dengan kata-kata, apabila 151 ekor lembu peliharaannya 'ghaib' sekelip mata, dipercayai dihanyutkan banjir dalam kejadian Isnin lalu, di Kampung Pengkalan Kubor, di sini.

Banjir yang melanda semua daerah negeri Terengganu itu, menyebabkan Hashim dari Kampung Tembila menanggung kerugian kira-kira RM600,000, apabila lembu daripada pelbagai baka dikatakan hanyut ke Sungai Keluang kerana limpahan air banjir.

Hashim berkata bencana yang dihadapi kali ini disifatkan paling buruk dalam sejarah hidupnya apabila kawasan ternakannya dinaiki air separas tiga meter ditambah pula arus deras.

"Sebelum ini banjir tidak seteruk tahun ini, paling dalam pun hanya setengah meter sahaja tetapi kali ini air naik mendadak pada Ahad malam dan berterusan hingga Isnin.

"Kira-kira jam 12 tengah hari Isnin, saya dibantu penduduk kampung pergi ke kawasan kandang lembu menaiki enam bot dan sebaik tiba di situ kawasan tersebut jadi seperti lautan dan saya dapati lembu-lembu saya sudah hanyut," katanya kepada Bernama ketika ditemui hari ini.

Hashim berkata hanya 14 lembu yang terselamat, selepas ditemui tersangkut pada pokok nipah berhampiran kawasan tersebut.

Beliau berkata lembu yang terselamat itu, kemudian ditarik dengan bot dan ada yang dimuatkan atas bot untuk dipindahkan ke kawasan tinggi.

"Kalau ikutkan jumlah lembu saya mencecah 200 ekor termasuk anak, tetapi kalau lembu dewasa sebanyak 165 ekor.

"Daripada yang hilang itu ada lembu yang berharga melebihi RM10,000 ke atas seekor," katanya yang menganggap kejadian itu sebagai dugaan.

Beliau yang juga mengusahakan tanaman tembikai dan keledek, mula menternak lembu kira-kira 12 tahun lalu bermula dengan hanya 15 ekor lembu.

Sementara itu seorang penternak ayam kampung kacukan (AKK) mengalami kerugian hampir RM13,000, apabila 1,000 ekor ayam yang diternaknya di Kampung Pengkalan Sentul dekat sini mati setelah ditenggelami banjir.

Mohd Fahmi Mohd Nasir, 34, berkata ayam yang terkurung dalam dua reban mati, apabila air meningkat mendadak hampir satu meter di kawasan itu.

"Kesemua ayam yang berusia 40 dan 30 hari itu sudah boleh dipasarkan, namun tidak ada rezeki saya apabila banjir kali ini menenggelami kawasan reban, sedangkan sebelum ini tidak pernah dinaiki air kecuali banjir besar," katanya.

Dalam pada itu Pegawai Veterinar Daerah Besut Syahidatul Jamaliah A Bakar berkata setakat semalam, sebanyak 250 laporan diterima daripada penternak di daerah itu, membabitkan haiwan ternakan ruminan dan bukan ruminan yang terjejas akibat banjir.

"Kita tidak menolak jumlah penternak yang akan tampil membuat laporan akan meningkat selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 6:02 PM