Roselan Ab Malek

Temerloh: Penternak ayam buntu apabila mengalami kerugian lebih RM500,000 selepas ladang ternakan ayamnya di Kampung Raja Songsang, di sini, tenggelam dua kali dalam banjir pada tahun lalu.

Lebih memburukkan keadaan apabila 45,000 anak ayam berusia hampir seminggu mati apabila banjir menenggelamkan tiga reban pada 19 Disember lalu.

A Raja Rao, 42, berkata dia tidak menyangka air naik lebih enam meter sehingga mencecah bumbung reban dalam banjir pada bulan lalu, berbanding hanya tiga meter pada Januari tahun lalu.

"Saya kerugian kira-kira RM300,000 pada Januari tahun lalu kerana saiz ayam jauh lebih besar berbanding ketika banjir, bulan lalu.

"Selain ternakan, kira-kira 200 beg makanan ayam terendam dan peralatan ladang sama ada rosak atau hanyut dalam banjir," katanya.

Raja Rao yang menternak ayam sejak 2018 berkata, air banjir baru surut sepenuhnya di ladangnya pada hujung minggu lalu dan kini sibuk membersihkannya termasuk membuang bangkai ayam.

A Raja Rao menunjukkan bangkai ayam di ladangnya di Kampung Raja, Songsang, Temerloh. FOTO Farizul Hafiz Awang
A Raja Rao menunjukkan bangkai ayam di ladangnya di Kampung Raja, Songsang, Temerloh. FOTO Farizul Hafiz Awang

Menurutnya, walaupun kecewa selepas dua kali berdepan banjir, dia bertekad untuk bekerja keras dan mengembalikan perniagaan penternakan ayamnya.

"Ladang ayam saya tidak pernah mengalami banjir sehinggalah awal tahun lalu dan tidak pernah menyangka dilanda banjir kali kedua pada tahun sama.

"Hanya satu reban mengandungi 13,000 ekor ayam yang terletak di kawasan tinggi terselamat dan pekerja saya menyelamatkan diri dengan mencari perlindungan di reban itu," katanya.

Katanya, dia berharap kerajaan boleh menyediakan beberapa jenis bantuan untuk membantu kerana sektor ternakan ayam memerlukan bantuan sama ada wang tunai atau peralatan.

"Kami sudah menggunakan wang simpanan semasa banjir awal tahun lalu, dan berharap agensi kerajaan atau sesiapa sahaja akan membantu kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 7:02 PM