Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menafikan kematian lelaki tempatan yang jatuh bangunan kondominium di Cheras, di sini pada 30 Disember lalu akibat dibunuh pegawai polis seperti dakwaan tular di media sosial.

Sebaliknya, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, siasatan mendapati lelaki berkenaan dipercayai membunuh diri dengan terjun dari tingkat 20 bangunan, dalam kejadian pada 8.05 malam.

Katanya, polis menerima maklumat awam mengenai kejadian itu dan sepasukan anggota dari Balai Polis Salak Selatan ke lokasi untuk tindakan lanjut.

"Pasukan itu mendapati seorang lelaki tempatan tidak sedarkan diri dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Canselor Tuanku Mukriz yang hadir di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abd Jalil berkata, siasatan awal tidak menemui unsur jenayah atas kematian itu dan menurut saksi, mangsa tinggal bersendirian selepas isterinya keluar rumah sejak 7 Disember lalu akibat masalah rumah tangga.

"Pemeriksaan lanjut kamera litar tertutup (CCTV) dalam lif bangunan mendapati mangsa masuk ke dalam lif sendirian dan keluar di tingkat 20. Kami turut menemui satu tin arak dan satu pelitup muka yang dihantar ke Jabatan Kimia untuk pengesahan," katanya.

Untuk itu, beliau menegaskan mangsa tidak dibunuh pegawai polis berpangkat inspektor seperti mana yang tersebar di media sosial.

"Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran kepada orang awam dan sentiasa mendapatkan maklumat sahih serta tidak mempercayai berita palsu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 9:19 PM