Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Jumlah mangsa banjir di Kelantan mencatat penurunan ketara kepada 339 orang pada 1 tengah hari ini, berbanding 1,129 orang pada pagi tadi, berikutan keadaan cuaca semakin baik.

Kesemua mangsa membabitkan 118 keluarga itu ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah iaitu Kuala Krai dan Jeli.

Setakat ini, hanya dua daerah masih dilanda banjir selepas PPS di Tanah Merah yang menempatkan 12 mangsa ditutup sepenuhnya, pagi tadi.

Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat 1.20 tengah hari, keadaan banjir di Jeli hampir pulih sepenuhnya apabila hanya satu sahaja PPS masih dibuka dengan menempatkan 179 mangsa.

Kuala Krai pula merekodkan 160 mangsa yang ditempatkan di enam PPS.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Sementara itu, laman web publicinfobanjir menunjukkan Sungai Kelantan di Kuala Krai masih melepasi paras bahaya iaitu 25.06 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 2:01 PM