MAYAT tiga wanita dan seorang lelaki tanpa identiti ditemukan terapung di kedudukan 14.2 batu nautika barat Pulau Buloh, Pulau Sembilan dekat Bagan Datuk. FOTO ihsan APMM
MAYAT tiga wanita dan seorang lelaki tanpa identiti ditemukan terapung di kedudukan 14.2 batu nautika barat Pulau Buloh, Pulau Sembilan dekat Bagan Datuk. FOTO ihsan APMM
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Mayat tiga wanita dan seorang lelaki tanpa identiti ditemukan terapung di kedudukan 14.2 batu nautika barat Pulau Buloh, Pulau Sembilan dekat Bagan Datuk, hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, maklumat penemuan empat mayat berkenaan diterima daripada komuniti maritim pada 9.05 pagi.

Menurutnya, susulan itu pihaknya mengarahkan Kapal Maritim (KM) Nyalau yang melaksanakan rutin rondaan ke lokasi sebelum menemukan mayat berkenaan pada 2.08 petang.

"Sehingga kini, APMM tidak menerima sebarang aduan berkenaan orang jatuh di laut atau permohonan bantuan.

"Namun, kita tidak menolak sebarang kemungkinan bahawa kejadian ini terdapat unsur jenayah di laut dan siasatan lanjut akan dilakukan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mayat berkenaan dibawa ke Jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kampung Acheh, Sitiawan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 6:12 PM