Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Syabu dikesan antara dadah popular pada masa kini berdasarkan trend peningkatan direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, sebanyak 27,050.07 kilogram (kg) dadah dirampas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sejak awal tahun ini sehingga November lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 7,919.75kg adalah syabu diikuti bahan kimia memproses syabu iaitu Ephedrine dan bahan kimia lain sebanyak 8,734.5kg dirampas.

"Selain itu, rampasan dadah jenis ganja pula menunjukkan penurunan 23 peratus tahun ini berbanding tahun lalu apabila 3,232.08kg dirampas.

"Turut dirampas 2,140.52kg dadah jenis heroin, erimin 5 (2,028.45kg); pil captagon (650kg); ketamin (465.11kg); pil yaba (343.80kg); pil ekstasi (259.71kg) dan kafien (283.41 kg)," katanya dalam sidang media khas pencapaian JSJN di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

DATUK Razarudin Husain. FOTO Fariz Iswadi Ismail
DATUK Razarudin Husain. FOTO Fariz Iswadi Ismail

Razarudin berkata, rampasan dadah itu hasil daripada penahanan 119,218 individu termasuk king pin yang aktif terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.

Menurutnya, dalam tempoh sama, 19 makmal dadah dibongkar iaitu di Pulau Pinang (enam), Selangor (empat), masing-masing tiga di Kuala Lumpur dan Johor, Perak (dua) serta Kedah (satu).

"Kesemua makmal berkenaan dikesan mampu memproses 1.12 tan dadah jenis ekstasi, syabu dan heroin dengan keuntungan bersih bernilai RM43.5 juta.

"Sehubungan itu, polis berharap orang awam membantu menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan penyalahgunaan dadah bagi mengekang aktiviti itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 2:57 PM