ZULKIFLI (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada peralatan memproses dadah yang dirampas. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
ZULKIFLI (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada peralatan memproses dadah yang dirampas. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Mohd Hilmie Hussin


POLIS merampas pil dan serbuk ekstasi serta syabu bernilai kira-kira RM30 juta susulan tumpasnya sindiket pengedaran ekstasi terbesar di negara ini, kelmarin.

Rampasan serbuk ekstasi seberat 285.6 kilogram bersama 562 pil ekstasi serta 6.2 kilogram syabu itu dibuat dalam satu serbuan di makmal pemprosesan dadah yang dipercayai terbesar di Kawasan Perindustrian Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Alor Gajah, Melaka.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Zulkifli Ali berkata, makmal terbabit berselindung di sebalik operasi kilang di kawasan perindustrian di situ, namun kegiatannya dihidu polis kira-kira sebulan lalu.

“Sepasukan polis dari Bukit Aman melancarkan serbuan di dua lokasi di Melaka dan satu di Johor Bahru.

“Dalam serbuan di kilang IKS itu, kita merampas dadah jenis ekstasi dan syabu serta pelbagai peralatan serta mesin pemprosesan dadah yang kita percaya terbesar di negara ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, hari ini.

Katanya, serbuk ekstasi seberat 285.6 kilogram yang dirampas itu mampu menghasilkan kira-kira 1 juta pil ekstasi.

Menurutnya, ketika serbuan kira-kira 8 pagi di kilang yang dijadikan makmal pemprosesan dadah terbabit, dua lelaki warga Singapura berusia 53 dan 60 tahun ditahan dengan seorang daripadanya dipercayai pakar dalam pemprosesan dadah itu.

ANTARA kenderaan yang dirampas. (Gambar kecil) Wang tunai yang dirampas. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
ANTARA kenderaan yang dirampas. (Gambar kecil) Wang tunai yang dirampas. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber

Zulkifli berkata, susulan itu, polis menahan seorang lagi suspek warga tempatan berusia 48 tahun di sebuah rumah di Taman Gadong, Melaka Tengah.

Selain itu, beliau berkata, polis turut melakukan serbuan di sebuah rumah di Johor Bahru, dipercayai dijadikan tempat penyimpanan pelbagai bahan kimia yang turut dirampas.

“Suspek yang dipercayai pakar pemprosesan ini berusia 53 tahun, tidak mempunyai apa-apa kelulusan berkaitan kemahiran mengendali bahan kimia, namun pemprosesan yang digunakan sangat licik kerana tidak menghasilkan bau serta pencemaran lain sehingga tidak dapat dihidu penduduk sekitar serta pengilang lain.

“Kita percaya, dadah yang dihasilkan untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, selain dadah dan peralatan serta mesin pemprosesan, polis turut menyita enam kenderaan iaitu empat kereta masing-masing dua Toyota Hilux; serta masing-masing satu Honda Accord, lori lima tan, motosikal Demak dan jet ski dianggar bernilai RM337,080 bersama wang tunai sebanyak RM2,080.

Zulkifli berkata, ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari sehingga 20 Mac ini bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 6:00 PM