Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seorang lelaki Taiwan dipercayai antara dalang sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dikesan melalui penghantaran kurier untuk edaran luar negara sejak November lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan bersama 12 individu tempatan lain termasuk seorang wanita menerusi enam serbuan berasingan di Lembah Klang pada 6 dan 8 Mac lalu.

"Hasil siasatan mendapati lelaki itu dikehendaki pihak berkuasa Taiwan atas kesalahan mencuri dan cubaan bunuh.

"Kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara itu untuk siasatan lelaki berkenaan. Jika ada sabitan terhadapnya, dia tidak akan diekstradisi ke negara asal.

"Siasatan lanjut berhubung kes sedang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek direman selama tujuh hari sehingga 14 Mac ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Razarudin berkata, pada 2.30 petang 6 Mac lalu, pihaknya mengekori seorang lelaki tempatan yang menggunakan khidmat kurier untuk menghantar lima kotak barang mengandungi sejadah di Cheras, di sini.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam kotak itu menemui ketulan kristal dipercayai dadah jenis methaphetamin yang dianggarkan seberat 4.2 kilogram.

"Hasil maklumat itu, kami menahan 13 individu berusia antara 18 hingga 35 tahun termasuk lelaki Taiwan berkenaan dan merampas pelbagai jenis dadah termasuk bahan kimia serta peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah.

"Kami merampas dadah jenis ketamin, syabu, pil erimin 5 dan pil ekstasi seberat 96.1 kilogram bernilai RM4.9 juta dalam serbuan itu. Semua dadah berkenaan boleh dibekalkan kepada 337,787 penagih.

"Turut dirampas tiga kenderaan, wang tunai berjumlah RM3,200 dan beberapa barang kemas yang dianggarkan bernilai RM121,200," katanya yang memberitahu tindakan itu mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing dilakukan mendapati 12 daripada 13 suspek yang ditahan positif dadah jenis ketamin dan methaphetamin.

"Malah, 10 daripada 13 suspek berkenaan juga mempunyai rekod jenayah dan kes dadah," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa mengambil tindakan licik apabila menggunakan peralatan keagamaan termasuk sejadah dan Al-Quran untuk menyeludup ketamin secara kurier di luar negara.

Razarudin dipetik berkata, peralatan keagamaan yang digunakan itu mengikut majoriti agama di negara terbabit dan dadah berkenaan dibungkus bersama bagi mengelak ia dikesan.

Razarudin menunjukkan barang rampasan dan bahan pemprosesan dadah pada sidang media di IPK Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad.
Razarudin menunjukkan barang rampasan dan bahan pemprosesan dadah pada sidang media di IPK Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 12:53 PM