GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Hidayah Tanzizi


Bagan Datuk: Kerani wanita kerugian RM50,000 selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai pegawai bank, Isnin lalu.

Dalam kejadian 3.45 petang itu, mangsa berusia 36 tahun yang berada di rumahnya di Hutan Melintang, dekat sini, menerima panggilan daripada lelaki mendakwa daripada bank di Klang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, suspek mendakwa mangsa mempunyai kad kredit platinum yang dimohon di bank berkenaan dan membuat tiga transaksi berjumlah RM15,596 sejak 15 November lalu.

Menurutnya, mangsa kemudiannya memaklumkan dia tidak pernah membuat sebarang permohonan kad kredit dengan bank berkenaan.

"Suspek memaklumkan dia akan membantu wanita terbabit membuat laporan polis kepada Bank Negara bahawa ada individu menggunakan butiran mangsa untuk membuka akaun di bank berkenaan.

"Suspek turut berjanji akan bantu menyelesaikan masalah itu menyebabkan mangsa memberikan semua maklumat perbankannya kepada suspek.

"Suspek juga menghantar laporan polis kononnya sudah dibuat bagi pihak mangsa untuk rujukan Bank Negara," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mangsa kemudian menerima pesanan ringkas daripada bank lain pada 5.24 petang hari sama, memaklumkan wanita itu membuat 15 transaksi dalam talian daripada akaun miliknya ke akaun bank atas nama seorang lelaki.

"Mangsa tidak tahu langsung pengeluaran wang dalam akaunnya sehingga pihak bank menghubunginya. Jumlah kerugian dialaminya RM50,000 dan mangsa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Ahmad Adnan turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat atau helah daripada pihak tertentu serta tidak mendedahkan maklumat perbankan kepada mana-mana pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 11:18 AM