Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

PENSYARAH wanita di Maran membuat laporan polis mendakwa dirinya mengalami kerugian sebanyak RM325,00 yang termasuk pinjaman bank selepas diperdaya sindiket Macau Scam sejak Ogos tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 41 tahun itu mendakwa mula dihubungi seorang lelaki pada awal Ogos kononnya dia adalah kakitangan Mahkamah Perlis berhubung perbicaraan kes langgar lari.

"Mangsa yang menafikan terbabit dalam 'kes' terbabit kemudiannya disambung ke balai polis dan suspek kedua menakut-nakutkan mangsa bahawa dirinya berdepan hukuman gantung sampai mati kerana terbabit dalam sindiket dadah dan pengubahan wang haram menyebabkan mangsa terus panik.

"Suspek juga mendakwa sebuah kereta peronda polis dalam perjalanan untuk menangkap mangsa menyebabkan wanita itu terus merayu sebelum diarahkan bercakap pula dengan suspek ketiga kononnya pegawai di Bukit Aman yang mengendalikan kes itu," katanya kepada media di Kuantan hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa mendakwa 'pegawai' itu memaklumkan mereka mempunyai bukti cap jari dan rakaman kamera litar tertutup yang mengaitkan mangsa dan bagi membersihkan dirinya mangsa perlu membantu 'siasatan' tanpa pengetahuan individu lain.

"Mangsa mendakwa diarahkan memindahkan wang simpanan berjumlah RM50,000 dan wang simpanan anaknya sebanyak RM30,000 ke akaun diberikan 'pegawai' itu kononnya bagi mengelakkan wang tersebut dirampas pihak berkuasa.

"Suspek juga mengarahkan mangsa membuat pinjaman bank sebanyak RM100,000 pada penghujung Ogos kononnya bagi risikan perjalanan wang diikuti tiga lagi pinjaman bank membabitkan jumlah antara RM30,000 hingga RM70,000 yang kemudiannya perlu dipindahkan ke akaun diberikan suspek," katanya.

Mohd Wazir menambah mangsa turut mendakwa diarahkan menjual rumah miliknya bernilai RM190,000 di Selangor atas alasan mengelakkan kecurigaan hartanah dibeli secara tidak sah, namun mangsa enggan menyebabkan suspek mendesak mangsa membuat pinjaman atas nilai sama.

"Suspek mendakwa jumlah itu sudah ditulis dalam laporan kepada pegawai atasan dan dirinya berkemungkinan dibuang kerja jika wang itu tiada.

"Mangsa bagaimanapun memaklumkan bahawa namanya sudah tidak boleh membuat pinjaman kerana berada pada tahap maksimum yang dibenarkan," katanya.

Menurutnya, selepas hampir setahun berurusan dengan suspek, mangsa akhirnya berasa curiga selepas tidak lagi menerima panggilan daripada suspek berhubung perkembangan siasatan, selain cubaan menghubunginya juga gagal menyebabkan dia berasa ditipu.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran semalam.

Mohd Wazir berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 11:19 AM