FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Dr Muhammad Shahruddin

Baru-baru ini tular berkaitan seorang pemuda yang mencicah roti ke dalam air banjir lalu memakannya. Suatu 'stunt' yang bukan sahaja memualkan, tetapi boleh membawa penyakit berbahaya. Setiap musim banjir, kes cirit-birit serta lain-lain penyakit bawaan air meningkat secara mendadak. Daripada warna dan bau, jelas air banjir tercemar dengan sampah, najis, air longkang dan pelbagai lagi jenis kotoran pembawa penyakit.

Air banjir itu bagaikan sup kuman yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit seperti konjunktivitis atau yang jauh lebih serius seperti jangkitan saluran pernafasan, leptospirosis dan denggi. Salah satu penyakit yang amat berbahaya ketika musim banjir ialah cirit-birit berjangkit atau infectious diarrhea. Penyakit cirit-birit menghasilkan najis yang cair dan berair hinggakan pesakit berulang-ulang kali ke tandas untuk membuang air.

Ada beberapa penyakit yang mendatangkan cirit-birit akibat air banjir:

• Disentri

Disentri ialah suatu jangkitan disebabkan radang usus. Najis menjadi cair bercampur lendir dan darah. Ia merebak melalui makanan atau air yang tercemar dengan najis. Rata-rata, ia disebabkan bakteria Shigella tetapi boleh juga disebabkan oleh bakteria, amoeba atau parasit. Selalunya, mereka yang dijangkiti penyakit ini terdiri daripada golongan kanak-kanak yang kurang kesedaran tentang kebersihan. Contohnya kanak-kanak yang bermain dan terminum air banjir dengan tidak sengaja.

• Kolera

Kolera atau taun ialah suatu jangkitan usus yang mudah menular melalui makanan dan minuman yang tercemar. Ia disebabkan bakteria Vibrio Cholera. Penyakit ini menyebabkan cirit-birit yang sangat teruk sehingga tubuh mengalami dehidrasi. Jika tidak ditangani, penyakit ini boleh membawa maut. Simptom utama ialah najis berair yang boleh berlaku beberapa jam atau beberapa hari selepas dicemari bakteria kolera. Kadangkala, ia berlaku tanpa simptom. Untuk merawat dehidrasi, pesakit harus segera diberi garam hidrasi oral atau pun cecair yang dimasukkan ke dalam tubuh melalui kaedah intravena bagi meningkatkan kandungan air dalam badan. Umumnya, inilah dua rawatan wajib untuk cirit-birit.

• Salmonellosis

Jangkitan Salmonellosis disebabkan bakteria Salmonella. Ia menyebabkan demam, cirit-birit dan kekejangan perut atau cramps. Jangkitan ini juga dikenali sebagai demam typhoid. Punca jangkitan bakteria ini ialah air dan makanan yang dicemari najis haiwan. Pencemaraan begini memang suatu kebiasaan dalam situasi banjir. Pesakit harus dirawat segera dengan terapi antibiotik oral untuk jangkitan yang sederhana dan suntikan intravenous untuk jangkitan yang lebih serius.

Pembawa bakteria Salmonella selalunya tidak sedar bahawa dia telah menjangkiti orang lain, kerana mereka yang dijangkiti tiada simptom serta merta. Lantas pesakit berterusan menjangkiti mereka yang berjarak dekat dengannya. Oleh itu, di Malaysia, mereka yang ingin bekerja dalam bidang pengendalian makanan wajib mendapatkan suntikan vaksin typhoid sebelum mula bekerja.

• Covid-19 di musim banjir

Walaupun sudah banyak kelonggaran peraturan Covid-19 di negara kita, contohnya mengadakan keramaian dan tidak memakai topeng muka, rakyat Malaysia belum lepas sepenuhnya daripada ancaman Covid-19. Sesuatu yang harus diingatkan ialah langkah berjaga-jaga terhadap penyakit bukan sahaja ketika banjir, tetapi selepas banjir. Mereka yang melakukan kerja-kerja pembersihan banjir serta mereka yang tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) tidak terkecuali daripada ancaman penyakit musim banjir.

Risiko jangkitan Covid-19 adalah tinggi di PPS dan harus ditangani secara berhati-hati. Umumnya, jangkitan mungkin berkaitan kebersihan makanan serta minuman, juga kesesakan manusia jarak dekat di mana kes-kes penyakit bawaan air boleh meningkat seperti kolera. Beberapa langkah harus diambil kerana mangsa-mangsa banjir semuanya di bawah satu bumbung di PPS. Berikut adalah beberapa langkah yang disyorkan:

• Pastikan air minuman bersih.

• Pastikan makanan diterima masih segar dan tidak basi.

• Persekitaran serta tandas harus bersih.

• Susuan badan untuk bayi bagi mengelakkan isu kebersihan botol susu.

• Kerap cuci tangan dengan sabun serta cecair penyahkuman.

• Pastikan luka-luka dan kecederaan tidak terdedah. Tutup dan rawat dengan baik untuk mengelakkan jangkitan.

• Jangan bermain atau berenang dalam air banjir kerana air kotor dan keruh ini bukan sahaja meningkatkan risiko jangkitan bawaan air, tetapi juga risiko mati lemas, gigitan ular, biawak dan lain-lain haiwan serta risiko terpijak objek tajam.

Kesimpulannya, pastikan anda memakai kasut but, topeng muka dan pelindung muka apabila melakukan kerja-kerja pembersihan selepas kejadian banjir. Ia bagi memastikan kita tidak terpercik air serta selut banjir ke dalam mulut atau mata.

Penulis Pakar Perubatan Dalaman, Columbia Asia Hospital Puchong

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2023 @ 7:00 AM