AMINUDDIN (kiri) menyampaikan sijil khairat kematian kepada Mohamad Taufek di Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil
AMINUDDIN (kiri) menyampaikan sijil khairat kematian kepada Mohamad Taufek di Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil

Seremban: Kerajaan negeri sudah menyalurkan bantuan RM3.4 juta kepada 3,462 ketua isi rumah di Negeri Sembilan yang ditimpa musibah banjir baru-baru ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Lukut penerima bantuan tertinggi iaitu RM524,000 diikuti Dun Klawang (RM463,000).

Katanya, Dun lain yang turut menerima jumlah bantuan tertinggi ialah Lenggeng (RM429,000), Chuah (RM334,000), Linggi (RM253,000), Chennah (RM268,000) dan Linggi (RM253,000) serta Labu (RM232,000).

"Bantuan tunai sebanyak RM1,000 ini sudah disalurkan menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kepada setiap penerima mulai Jumaat lalu dan setakat semalam lebih daripada RM3.4 juta sudah disalurkan.

"Kita sudah minta agihan ini disegerakan kerana ia membabitkan keperluan mendesak kepada mereka yang ditimpa bencana ini dan sebahagian besar sudah selesai diagihkan, dijangka selesai sepenuhnya sebelum akhir minggu ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sijil Inisiatif Takaful Khairat Kematian kepada Adun dan Penyelaras Dun di Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Aminuddin mengumumkan kerajaan negeri menyediakan peruntukan awal berjumlah RM12 juta bagi membantu mangsa banjir termasuk kos membaiki kerosakan infrastruktur dan kediaman serta senggaraan kesan daripada bencana berkenaan.

Menurutnya, bantuan berkenaan bukan saja diberikan kepada pemilik rumah

yang ditimpa banjir malah kepada penyewa rumah selain kepada pemilik dan penyewa premis perniagaan.

Pihaknya mendapati kerosakan infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan juga tinggi termasuk rumah penduduk yang rosak teruk.

"Bagaimanapun jumlah taksiran kos pembaikan itu masih belum dapat dimuktamadkan lagi kerana ia masih dalam penilaian agensi berkaitan.

"Saya bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada semua agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang terbabit secara langsung dan tidak langsung yang membantu mangsa banjir.

"Kita nampak memang banyak bantuan yang mereka salurkan dalam pelbagai bentuk kepada mangsa banjir dan kita ucapkan terima kasih atas keprihatinan diberikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 5:48 PM