Amirudin Shari (tengah) bersama para pemberi sumbangan tabung khas COVID-19 Negeri Selangor selepas Pengumuman Khas Menteri Besar Selangor sempena Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 di Seksyen 7 Shah Alam hari ini. FOTO BERNAMA
Amirudin Shari (tengah) bersama para pemberi sumbangan tabung khas COVID-19 Negeri Selangor selepas Pengumuman Khas Menteri Besar Selangor sempena Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 di Seksyen 7 Shah Alam hari ini. FOTO BERNAMA
Norzamira Che Nor


Shah Alam: Bantuan 'Pakej Kita Selangor' membabitkan dana RM 73.877 juta disalurkan kepada rakyat Selangor selain bantuan RM2 juta untuk mangsa banjir di negeri Pahang, Kelantan serta Terengganu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan Selangor bersimpati dengan nasib yang menimpa rakyat di negeri-negeri yang dilanda musibah banjir.

"Bagi menyantuni jiran-jiran tetangga kita, kerajaan negeri bersedia menghulurkan Sumbangan Bantuan Banjir #KitaSelangor berjumlah RM 1 juta untuk negeri Pahang.

"Rakyat Kelantan dan Terengganu masing-masing akan turut menerima Sumbangan Bantuan Banjir berjumlah RM 500,000," katanya dalam pengumuman khas sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2021 menerusi Facebook Rasminya tadi.

Pada pengumuman khas itu, Amirudin turut mengumumkan Pakej Kita Selangor yang akan memberi implikasi kewangan berjumlah RM 73.877 juta kepada kerajaan negeri.

Antara inisiatif yang akan dilaksanakan untuk mendepani PKP 2.0 adalah meneruskan saringan bersasar komuniti yang mana kerajaan negeri memperuntukkan RM6 juta untuk melaksanakan Ujian Saringan Bersasar percuma yang akan memberi manfaat kepada 50,000 rakyat negeri ini.

Katanya, pihaknya juga menambah baik fungsi aplikasi SELangkah yang membantu pengawasan kendiri individu bergejala membabitkan pusat panggilan 24 jam.

"Kita juga meneruskan bantuan makanan kepada petugas barisan hadapan dengan peruntukan RM3 juta membabitkan 9,822 petugas perubatan dan 3,500 anggota polis serta tentera.

"Selain itu, kerajaan negeri juga menyediakan bas percuma (Smart Selangor) untuk menghantar pesakit Covid-19 berisiko rendah ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS)," katanya.

Amirudin berkata, setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) juga diberikan peruntukan khas mesra rakyat berjumlah RM100,000 manakala RM50,000 untuk ahli parlimen membabitkan perolehan asas seperti beras dan minyak masak.

Beliau berkata, menerusi pakej itu, pengecualian sewa bulan (Januari) serta penangguhan sewa dua bulan (Februari dan Mac) untuk 2,361 penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) manakala penangguhan sewa tiga bulan (Januari-Mac) untuk 450 penyewa Skim Smart Sewa membabitkan kos RM2.7 juta.

Katanya, kerajaan negeri juga melupuskan pinjaman 762 peminjam Yayasan Selangor berjumlah RM7.177 juta.

"Sebanyak RM1.3 juta pula diperuntukkan untuk membiayai bantuan makanan untuk pemandu teksi, pemandu bas sekolah, penyewa PPR, pemandu lori sisa pepejal kendalian KDEBWM dan Orang Asal manakala peruntukan RM2 juta untuk 10,160 warga tani termasuk baucar petrol RM300 kepada nelayan, makanan ternakan untuk pengusaha ternakan dan makanan mentah untuk warga tani.

"Peruntukan RM1 juta biaya Inisiatif Peduli Anak Barisan Hadapan dengan pembukaan taska dan pusat jagaan sementara percuma di hospital awam serta premis sementara, pelancaran

Portal Pusat Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) menerusi portal ePTRS.my untuk pelbagai program pembelajaran.

"Selain itu, program digitalisasi e-kitchen diberikan peruntukan berjumlah RM10 juta, e- pembekalan (runcit dn mikro) (RM5 juta); Selangor Freelance (RM10 juta); Rakan Digital Selangor (RM3 juta); Skim Niaga Darul Ehsan (RM10 juta) dan Pusat Operasi Smart Selangor Operations Centre (RM6 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 5:13 PM