NELAYAN mengalihkan pukat dan bot ke tempat yang lebih tinggi sebagai persediaan susulan ombak besar dan air pasang di Pantai Rhu Renggeh. FOTO GHAZALI KORI
NELAYAN mengalihkan pukat dan bot ke tempat yang lebih tinggi sebagai persediaan susulan ombak besar dan air pasang di Pantai Rhu Renggeh. FOTO GHAZALI KORI
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Bekalan makanan dan keperluan asas mencukupi untuk menampung keperluan mangsa banjir terutama di Kampung Pasir Raja, Dungun.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Mazura Ngah Abd Manan berkata, semua bekalan makanan dan keperluan asas untuk mangsa banjir berkenaan sudah dihantar sejak Oktober lalu.

Katanya, setakat ini ia masih mencukupi untuk menampung keperluan mangsa banjir.

"Penduduk yang tinggal di kawasan berkenaan juga bersiap siaga untuk berpindah ke bangunan sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Pasir Raja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) bahawa kawasan rendah dan berisiko di Kampung Pasir Raja, Dungun mugkin akan dilanda banjir bermula Khamis dan Jumaat ini, susulan paras Sungai Dungun yang dijangka melepasi tahap bahaya.

Mazura berkata, JKM turut mengenal pasti sebanyak enam kampung membabitkan lebih 1,000 penduduk akan terjejas jika kawasan itu dilanda banjir.

"JKM dan agensi kerajaan lain sudah bersiap siaga menghadapi banjir gelombang ketiga, terutama di enam kampung di Pasir Raja, Dungun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 5:27 PM