MAZURA bersama  pekerjanya menyusun seramik untuk dikeringkan di Bengkel zutah Industries di Kampung Seribong, Pasir Tumboh.
MAZURA bersama pekerjanya menyusun seramik untuk dikeringkan di Bengkel zutah Industries di Kampung Seribong, Pasir Tumboh.
Oleh Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Seramik biasanya lebih sinonim dengan pasu, namun seorang pengusaha wanita, di sini, cenderung mempelbagaikan imej seramik, sekali gus menjadikan produknya paling diingati ramai.

Seramik milik Mazura Zakaria dari Kampung Seribong, Pasir Tumboh tidak hanya dijadikan pasu atau labu, sebaliknya dibentuk menjadi epal dan kek cawan selain hiasan kecil lain.

Semuanya dibuat mengikut cita rasa pelanggan, malah sehingga kini ratusan ribu malah mungkin jutaan produk seramik di bawah label Zutah Industries terjual bukan hanya di Kelantan, namun pasaran domestik dan antarabangsa termasuk Singapura.

Mazura, 47, berkata, produk seramiknya menjadi pilihan pengantin untuk dijadikan cenderahati perkahwinan selain kegunaan lain.

“Saya bangunkan perniagaan ini sejak 1994 lagi dan tidak mahu terikat dengan pembuatan pasu saja.

“Atas sebab itu saya pelbagaikan seramik dengan menjadikannya cenderahati kecil yang lain seperti bentuk kek cawan yang boleh dijadikan tabung selain epal.

“Saiznya pula tidak besar, cukup sekadar 7 x 6 inci (17.8sm x 15.2sm) sehingga 8 x 10.5 inci (20.3sm x 26.7sm) . Biasanya ini untuk majlis perkahwinan dan cenderahati buat majlis-majlis tertentu.

“Ia bergantung juga kepada citarasa pelanggan. Mereka akan buat tempahan menerusi atas talian atau datang ke bengkel kami di sini (Kampung Seribong),” katanya.

Mazura mengakui tidak mudah menyelesaikan tempahan untuk perkahwinan kerana perlu memastikan kerja tangan yang halus dan berkualiti.

Namun, katanya, dia bersyukur kerana sentiasa mendapat sokongan suami Awang Yusof, 47, sambil dibantu empat pekerja.

“Memang tak mudah kerana kita perlu bentuk daripada tanah liat. Kerjanya agak cerewet tetapi lama-kelamaan menjadi mudah dibantu pelbagai peralatan.

“Biasa untuk tempahan berjumlah 100 ke 500 buah, sebulan diperlukan untuk menyiapkannya. Harganya pula antara RM1.20 ke RM2 setiap satu,” katanya yang mendapat inspirasi menceburi perniagaan itu selepas bekerja di sebuah kilang di Pengkalan Chepa beberapa tahun lalu.

Lebih membanggakannya, selepas 21 tahun dalam industri, seramik Zutah menjelajah seluruh negara, malah turut mendapat permintaan di Sabah dan Sarawak serta Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:17 AM