Dungun: Pegawai Pembangunan Parlimen Dungun Datuk Din Adam kecewa apabila masih ada pihak yang membuat dakwaan bantuan makanan tidak sampai ke pusat pemindahan banjir.

Katanya, dakwaan daripada pihak tidak bertanggungjawab itu tidak benar sama sekali dan hanya bertujuan menimbulkan kebencian kepada kerajaan.

“Macam-macam dakwaan yang dilemparkan, ini semua tidak benar dan ia tidak pernah tercetus di daerah ini.

“Saya tidak dengar rungutan kelewatan ini ketika melawat ke semua pusat pemindahan di Dungun sebaliknya mereka semua berterima kasih dan bersyukur mendapat bantuan bekalan makanan kering serta dibekalkan ikan segar secara berjadual,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, setiap hari pihaknya menyediakan 12 kenderaan pacuan empat roda yang bertindak menghantar bekalan ikan segar ke pusat pemindahan yang beroperasi di daerah ini.

“Saya tidak nafikan kejadian di Pasir Raja, Hulu Dungun ada kelewatan akibat jalan terputus, namun bantuan makanan tetap dihantar dengan helikopter,” katanya.

Sementara itu, Hasyudin Mohd Nor, 42, dari Kampung Serdang, di sini, berkata, dia dan mangsa banjir lain tidak menghadapi masalah terputus bekalan makanan serta bersyukur dengan apa yang ada.

“Selain bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), terdapat pelbagai syarikat, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang turut menyampaikan bantuan di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 6:11 AM