DUA lelaki maut selepas dirempuh sebuah treler dalam kejadian di Kilometer 241.6 Lebuhraya Utara- Selatan (Plus) menghala utara, dekat sini, tengah malam tadi. FOTO ihsan POLIS
DUA lelaki maut selepas dirempuh sebuah treler dalam kejadian di Kilometer 241.6 Lebuhraya Utara- Selatan (Plus) menghala utara, dekat sini, tengah malam tadi. FOTO ihsan POLIS
Ahmad Hasbi


Rembau: Dua lelaki maut selepas dirempuh treler dalam kemalangan babit tiga kenderaan di Kilometer 241.6 Lebuhraya Utara- Selatan arah utara, dekat sini tengah malam tadi.

Saifuddin Abdullah, 50, yang bekerja sebagai pemandu lori dan R Morgana Krishnan, 49, 'runner' Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada 12.30 tengah malam ketika lori dipandu Saifuddin berhenti di lorong kecemasan akibat kehabisan minyak.

Katanya, Morgana yang menunggang motosikal datang, membantu dengan membawa minyak yang diisi dalam botol.

"Kemudian datang treler dari arah Ayer Keroh, Melaka menghala ke Senawang merempuh kedua-dua mangsa yang berdiri di sebelah kanan lori.

"Kedua-dua mangsa melambung dan jatuh di tempat kejadian. Mangsa mengalami parah di kepala dan badan, disahkan meninggal dunia di lokasi.

"Pemandu treler pula meninggalkan kenderaannya dan menghilangkan diri. Usaha mengesannya sedang giat dilakukan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hazri berkata, mayat dihantar ke Hospital Rembau untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga bagi pengebumian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 4:54 PM