MANGSA maut di lokasi kejadian. FOTO ihsan polis
MANGSA maut di lokasi kejadian. FOTO ihsan polis
Ahmad Hasbi


Rembau: Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggang terlanggar lori yang diletakkan di lorong kecemasan dekat Kilometer 222.4, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 7.45 malam itu, pengurus kedai makan, Siti Aisyah Shifik, 32, dalam perjalanan dari arah selatan menghala ke Seremban.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati mangsa menunggang Honda Wave 110 dalam perjalanan dari arah Ayer Keroh, Melaka menghala ke Senawang, Seremban.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa terlanggar belakang sebuah lori yang diletakkan di lorong kecemasan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hazri berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

"Mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Rembau untuk dibedah siasat jam 9 malam tadi dan kejadian itu sudah dimaklumkan kepada waris," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat daripada pemandu lori berusia 36 tahun itu, kenderaan berat yang dipandunya mengalami kerosakan dan diletakkan di lorong kecemasan sementara menunggu bantuan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 10:36 AM