PENDUDUK meredah banjir untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Semangat, Kuantan, hari ini. Banjir pada waktu panas bukan situasi baharu kepada penduduk Kampung Semangat kerana lazimnya banjir akan melanda kampung itu semasa keadaan di kawasan lain di Pahang mulai surut. Banjir itu susulan air hulu Sungai Pahang ‘turun’ ke kuala Sungai Penor yang terletak berdekatan sebelum mengalir ke laut. FOTO Bernama
PENDUDUK meredah banjir untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Semangat, Kuantan, hari ini. Banjir pada waktu panas bukan situasi baharu kepada penduduk Kampung Semangat kerana lazimnya banjir akan melanda kampung itu semasa keadaan di kawasan lain di Pahang mulai surut. Banjir itu susulan air hulu Sungai Pahang ‘turun’ ke kuala Sungai Penor yang terletak berdekatan sebelum mengalir ke laut. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuantan: Berhadapan dengan banjir bukan perkara baharu buat Suriani Zakaria, namun situasi pada malam 19 Disember lalu berbeza apabila terpaksa meredah hujan lebat bersama bayi lelakinya berusia tiga bulan dengan bot apabila air sudah melebihi paras lutut.

Lebih membimbangkan ibu kepada tiga anak berusia 33 tahun itu apabila ular sudah mula membuat 'kunjungan' menerusi bahagian belakang rumah mereka di Kampung Surau Putih, Bukit Setongkol, di sini, membuatkannya nekad meninggalkan kediaman berkenaan.

Suriani yang berpengalaman berhadapan dengan banjir sebanyak tiga kali pada tahun ini berkata, sejurus menyedari paras air naik secara luar biasa, mereka sekeluarga membuat persiapan untuk berpindah dengan meminjam bot daripada abang iparnya.

"Ketika ular masuk (rumah), saya dan anak-anak berada di ruang tamu, dan tengah kalut masa itu sebelum suami dan kawannya nampak binatang berbisa itu di bahagian dapur dan mereka sempat membunuh dengan mengetuk ular itu dengan pelbagai objek.

"Insiden ular masuk ketika banjir ini bukan pertama kali, sekitar lima tahun lalu pernah jadi apabila ular sawa kelihatan 'bertenggek' di tangga rumah," katanya di sini, hari ini.

Bercerita lanjut, anak jati Pahang itu berkata, sejurus mengambil barangan penting, dia bersama suami, bayi dan dua anak perempuan bergegas menaiki bot ke kawasan selamat yang terletak lebih 100 meter dari rumah sebelum dibawa dengan kereta ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Setongkol.

"Semasa kejadian sekitar 10 malam memang hujan lebat dan gelap, tapi kami tidak ada pilihan selain keluar rumah untuk selamatkan diri bimbang paras air naik lebih tinggi dan membahayakan nyawa terutamanya anak-anak yang masih kecil.

"Setiap tahun memang kami berdepan dengan banjir tetapi tahun ini sahaja tiga kali iaitu pada Januari, Mac dan yang terbaharu minggu lepas... hampir kesemua perabot memang tidak boleh digunakan lagi," katanya.

Sementara itu, jiran Suriani, Anita Mansor, 49, berkata keselamatan anaknya Mohd Khairuddin Zolkifle, 29, yang juga orang kurang upaya (OKU) diutamakan ketika kejadian banjir mula melanda Pahang pada minggu lalu.

Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) itu berkata, anaknya yang mempunyai masalah untuk berjalan selepas sembuh daripada lumpuh akibat kemalangan jalan raya pada 2012 dipindahkan ke rumah kenalan di Setali, di sini, sejurus beberapa kawasan di bandar ini dinaiki air.

"Setiap kali banjir memang dia keutamaan, bila dia dah ada tempat selamat baru saya fikir bagaimana nak selamatkan barang-barang lain.

"Kali ini saya sempat pulang semula ke rumah untuk ambil pakaian sahaja... barang lain memang rosak ditenggelami air apabila air hampir cecah paras bumbung," kata ibu kepada empat anak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 3:20 PM