Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam, berkenan berangkat meninjau situasi banjir di ibu kota susulan hujan lebat yang melanda sejak 24 jam yang lalu.FOTO Ihsan FB Istana Negara
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam, berkenan berangkat meninjau situasi banjir di ibu kota susulan hujan lebat yang melanda sejak 24 jam yang lalu.FOTO Ihsan FB Istana Negara
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menyifatkan senario banjir melanda ibu negara malam tadi, seolah-olah sama dengan banjir besar yang berlaku pada 1971.

Seri Paduka Baginda bertitah selepas 50 tahun peristiwa itu, rakyat Malaysia perlu mengambil teladan untuk bersiap sedia terutamanya pada bulan Disember dan Januari, yang memperlihatkan impak banjir yang seperti berulang.

Seri Paduka bertitah demikian selepas berkenan mencemar duli turun padang membuat lawatan peribadi menziarahi mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, kira-kira 11.30 pagi tadi.

Dalam lawatannya, Seri Paduka menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa dan berpesan supaya terus bersabar dengan keadaan yang berlaku.

"Saya masih meninjau keadaan semasa ke semasa dan dalam pada itu, saya ingatkan supaya terus bersabar dan terima (musibah banjir) dengan keredaan Allah.

"Jagalah kesihatan, jaga anak-anak semua," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah juga berharap supaya kerajaan dapat menghulurkan bantuan sebaik mungkin kepada semua mangsa yang terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 2:35 PM