GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kota Bharu: Dua pesakit Covid-19 yang juga mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Chiku 7, di Gua Musang dipindahkan ke hospital bagi rawatan lanjut, pada jam 12 tengah hari, hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kelantan Gua Musang, Mohd Yussalmi Mohd Yusoff berkata, kedua-dua pesakit terbabit sebelum ini ditempatkan di PPS tersebut dan diasingkan daripada mangsa banjir yang lain.

Beliau berkata, pasukannya telah menggunakan bot untuk membawa keluar pesakit dari PPS sebelum diserahkan kepada Hospital Gua Musang.

"Ketika kerja-kerja membawa mangsa positif Covid-19 ini, pihak kami telah mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan memakai pakaian serta peralatan perlindungan diri (PPE) bagi mengelakkan penularan wabak kepada anggota bertugas," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Menurut Mohd Yussalmi keadaan kedua-dua mangsa ketika dibawa keluar dari PPS adalah sihat.

Katanya setakat jam 1 tengah, dua PPS telah dibuka di Gua Musang iaitu PPS SK Limau Kasturi 1 dan SK Felda Chiku 7 dengan menempatkan 393 mangsa daripada 68 keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 3:30 PM