GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Mangsa banjir di Kelantan mencatatkan peningkatan kepada 786 orang sehingga jam 8 pagi ini berbanding 629 mangsa petang semalam.

Mereka ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah iaitu Gua Musang, Jeli, Kuala Krai dan Tanah Merah.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa daripada 167 keluarga iaitu 266 lelaki dewasa, 267 wanita dewasa, 108 kanak-kanak lelaki, 135 kanak-kanak perempuan, 29 warga emas dan enam orang kurang upaya (OKU).

Portal eBanjir Kelantan memaklumkan, 10 PPS itu ialah dua di Gua Musang, enam di Kuala Krai dan masing-masing satu di Tanah Merah serta Jeli.

Mangsa banjir berkenaan ditempatkan termasuk di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kelewek di Tanah Merah seramai lapan mangsa daripada dua keluarga, SK Limau Kasturi 1 (177 mangsa) dan SK Chiku 7 (386 orang).

Sementara itu, empat jalan yang ditutup masing-masing dua di Machang dan dua di Kuala Krai.

Antara jalan ditutup ialah Jalan Jirat dan Jalan masuk ke Kampung Baru Pahi di Kuala Krai serta Jalan Pangkal Meleret - Limau Hantu dan Jalan Machang - Pangkal Meleret - Wakaf Bata di Machang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 9:08 AM