KEADAAN banjir di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang susulan hujan lebat sejak semalam. FOTO Ihsan Polis
KEADAAN banjir di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang susulan hujan lebat sejak semalam. FOTO Ihsan Polis
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Hujan lebat sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan di Gua Musang dan Jeli dinaiki air sejak malam tadi.

Antara kawasan yang dinaiki air di Jeli ialah Kampung Layat, Jeli Lama, Sungai Santan, manakala di Gua Musang adalah Kampung Limau Kasturi dan Felda Chiku 7.

Susulan itu, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka yang menempatkan 393 mangsa daripada 68 keluarga setakat jam 12 tengah hari ini.

Dua PPS berkenaan ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Chiku 7 dan sebuah lagi di SK Kampung Limau Kasturi masing-masing menempatkan 362 mangsa daripada 62 keluarga serta 31 orang daripada enam keluarga.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, PPS di Chiku 7 mula dibuka jam 9 pagi ini, manakala di Limau Kasturi mula jam 10 pagi.

Beliau berkata, hujan masih lebat dan paras air meningkat serta kemungkinan beberapa kampung di lokasi rendah akan dinaiki air.

"Polis bersama pasukan lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat serta agensi lain membuat pemantauan dan memindahkan mangsa ke PPS.

"Kita menasihatkan kepada penduduk supaya membuat persediaan sekiranya lokasi mereka rendah dan dinaiki air. Jika memerlukan bantuan segera menghubungi pihak keselamatan untuk membantu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd Adni Ibrahim berkata, beberapa kampung di Jeli mula dinaiki air, namun setakat ini tiada mangsa yang berpindah di PPS.

"Pihak kita terus membuat pemantauan dan persediaan untuk menghadapi pelbagai kemungkinan termasuk memindahkan mangsa.

"Semua jalan di daerah ini juga masih boleh dilalui oleh semua kenderaan ringan dan berat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 12:31 PM