Balqis Jazimah Zahari


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna Negeri (KPDNHEP) Perak sudah memeriksa 1,934 premis bagi memantau harga dan bekalan pelitup muka sehingga 16 Ogos lalu.

Timbalan Pengarah KPDNHEP Perak, Dottie Azlina Ismail berkata, daripada jumlah itu tiga kes dikenakan kompaun sebanyak RM2,250.

"Kementerian sudah memutuskan penurunan harga maksimum pelitup muka tiga lapis daripada RM1.45 seunit ke RM0.95 seunit bagi harga runcit.

"Hasil pemeriksaan, tiga kes dikenakan tindakan kompaun berikutan menjual harga pelitup muka melebihi harga maksimum ditetapkan," katanya selepas menjalankan pemeriksaan terhadap ketetapan harga pelitup muka di Aeon Klebang di Ipoh, hari ini.

Dottie berkata, antara kesalahan lain boleh ambil tindakan sekiranya tiada tanda harga dan label pada produk, menyorokkan produk, produk tiruan atau penandaan yang tidak jelas.

"KPDNHEP juga melihat sekiranya ada yang menjual secara 'loose', ia bermaksud bukan dijual di dalam kotak, siasatan boleh juga dijalankan jika tidak mempunyai label.

"Jadi adalah perlu untuk pengilang memastikan bahawa pelitup muka ada label, jadi sekiranya terdapat sebarang masalah berkaitan dengan produk pengguna boleh menghubungi semula pengilang terbabit," katanya.

Beliau berkata, tinjauan harga juga dibuat ke atas penjualan pelitup muka yang dipasarkan secara dalam talian bagi memastikan mereka juga mematuhi harga maksimum ditetapkan.

Dottie Azlina Ismail (dua kiri) sedang menjalankan pemeriksaan terhadap ketetapan harga pelitup muka di Aeon Klebang. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Dottie Azlina Ismail (dua kiri) sedang menjalankan pemeriksaan terhadap ketetapan harga pelitup muka di Aeon Klebang. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 2:57 PM