DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay (kanan) beramah mesra pada Majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor di Dewan Dato' Onn, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. FOTO Nurul Amanina Suhaini
DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay (kanan) beramah mesra pada Majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor di Dewan Dato' Onn, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Pegawai dan anggota polis di Johor dinasihatkan supaya menjauhi rasuah kerana tiada kompromi terhadap mereka yang terbabit dengan jenayah berkenaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penahanan dua pegawai kanan dari Bukit Aman berkaitan rasuah pada minggu lalu, bukan sahaja dipandang negatif masyarakat, malah menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, sejak dilantik sebagai Ketua Polis Johor pada Mac lalu, seramai 21 anggota polis (pegawai pangkat rendah) di Johor sudah dituduh di mahkamah yang antaranya dadah (5), jenayah (6), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (7), selain salah laku (1) dan trafik (2).

"Kalau kita lihat, tangkapan baharu dibuat membabitkan pegawai kanan polis, bukan sahaja di peringkat kontinjen atau negeri, malah di peringkat Bukit Aman.

"Mungkin ada pihak tidak berpuas hati dengan pendekatan digunakan selama ini yang dilihat terlalu keras dan terbuka, tapi perkara itu sudah lepas.

"Tidak perlu lagi kita rasa tidak selesa atau sebagainya. Seperti mana saya jelaskan sebelum ini, kalau ada anggota dan pegawai terbabit, kita (polis) tidak akan teragak-agak untuk membuka kertas siasatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor di Dewan Dato' Onn, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Terdahulu, dua pegawai kanan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai ada kaitan dengan kes pengubahan wang haram yang membabitkan selebriti tanah air.

Ayob Khan berkata, sekiranya ada saksi sanggup tampil ke hadapan, pihaknya akan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 384/385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 4:21 PM