AYOB Khan (kiri) menyerahkan jawatan pemangku Ketua Polis Johor kepada Khaw (kanan) disaksikan Abd Jalil (tengah). FOTO Nurul Amanina Suhaini.
AYOB Khan (kiri) menyerahkan jawatan pemangku Ketua Polis Johor kepada Khaw (kanan) disaksikan Abd Jalil (tengah). FOTO Nurul Amanina Suhaini.
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Integriti dalam diri setiap polis mampu melahirkan pegawai yang berjiwa kental, berani dan disegani masyarakat.

Itu pesanan Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika majlis serah terima tugas pemangku Ketua Polis Johor kepada Datuk Khaw Kok Chin di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Jawatan Ketua Polis Johor akan dipangku oleh Timbalannya, Khaw selama dua minggu sebelum disandang Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Ayob Khan akan bertukar sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, yang berkuat kuasa pada 25 Januari ini.

Ayob Khan berkata, sejak awal beliau menerajui Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Johor, aspek yang ditekankan antaranya integriti, amanah, tegas, adil dan berhemah biarpun mungkin ditohmah, dikecam, dikritik mahupun diugut.

"Tiada sebarang tolak ansur terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam rasuah, salah laku, bersekongkol jenayah, dadah atau penyeliaan yang tidak telus.

"Pastikan penyeliaan integriti dan penyampaian perkhidmatan diperkemas dari semasa ke semasa untuk diberikan yang terbaik kepada masyarakat.

"Rakyat sentiasa melihat apa yang dilakukan PDRM setiap masa. Adakah kata-kata yang kita lontar itu seiring dengan perbuatan dan tindakan kita lakukan," katanya pada majlis berkenaan di sini, hari ini.

Majlis berkenaan disaksikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Sri Abd Jalil Hassan.

Pada majlis itu, turut diadakan serah terima tugas jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Johor antara Datin Zalena Mohd Ariffin dan Sharifah Mazni Syed Kassim yang disaksikan Pengerusi PERKEP JSJ PDRM, Datin Seri Dr Siti Alida John Abdullah.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, tanpa sokongan media mustahil kejayaan dapat dikongsi kepada masyarakat.

"Tanpa sokongan media juga mungkin banyak maklumat salah disebar di media sosial dan tidak dapat dibetulkan, sudah tentu maklumat ini beri persepsi negatif kepada polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 1:07 PM