Omar Ahmad

Johor Bahru: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor sudah membuka kertas siasatan tatatertib terhadap tiga individu, berhubung pengedaran dadah dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kertas siasatan tatatertib dibuka terhadap Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kota Tinggi dan Ketua Polis Balai Kota Tinggi.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan jika ada mana-mana pegawai atau anggota yang terbabit dalam kes terbabit.

"Saya tekankan sejak saya mengambil alih negeri ini, aspek penyeliaan, kalau Ketua Polis daerah tidak selia dengan betul inilah yang akan berlaku. Penyeliaan dan akauntabiliti, kita akan jalankan tindakan, siasatan rapi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana Ketua Polis daerah, ketua jabatan yang tidak menyelia dan tiada akauntabiliti.

AYOB Khan. FOTO BERNAMA
AYOB Khan. FOTO BERNAMA

"Memang ada arahan dari Pengarah Narkotik Bukit Aman, setiap suspek yang ditahan selepas tujuh hari perlu dibuat saringan air kencing, tetapi ini tidak dijalankan. Selepas dapat laporan, kita daripada IPK Johor turun barulah mereka hendak buat ujian saringan air kencing.

"Kita lihat hasil siasatan, tapi dari aspek akauntabiliti dan penyeliaan itu memang tiada. Balai Kota Tinggi bawah IPD Kota Tinggi, kalau balai itu jauh dari IPD mungkin ada alasan, tetapi ini di bawah dagu dia.

"Tidak ada penyeliaan, itu saya tidak akan bertolak ansur. Dari awal saya cakap Ketua Polis daerah, Ketua Jabatan yang mana tidak bertanggungjawab ini, tiada integriti, tiada akauntibiliti dan tidak ada penyeliaan. Saya akan ambil tindakan," katanya pada sidang media di IPK Johor, di sini, hari ini.

Menurut Ayob Khan, tidak menolak kemungkinan mereka yang terbabit akan digantung tugas mengikut hasil siasatan.

"Mungkin kita tengok ada tindakan lebih tinggi itu buang kerja, ada tindakan lain juga selain tidak dibuang kerja",katanya.

Berita berkaitan

Dadah dalam lokap: 9 polis antara 10 ditahan [METROTV]

Dadah bolos masuk lokap polis

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 1:53 PM