KHALED bersalaman bersama penerima anugerah di Dewan Serbaguna Pulai Utama, Johor Bahru, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
KHALED bersalaman bersama penerima anugerah di Dewan Serbaguna Pulai Utama, Johor Bahru, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Omar Ahmad


Iskandar Puteri: Operasi dan tugasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak terjejas walaupun sewaan helikopter Black Hawk untuk Tentera Darat Malaysia (TDM) berdepan kelewatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tugasan dan operasi pasukan berjalan seperti biasa, tetapi tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan lebih baik dengan penggunaan helikopter berkenaan.

Menurutnya, helikopter terbabit adalah keperluan untuk mengangkut peralatan dan barang makanan di di pedalaman Sabah dan Sarawak.

"Itu (helikopter Black Hawk) untuk Tentera Darat, (tetapi) kita ada helikopter lain. Kita ada banyak helikopter, Tentera Udara (Diraja) Malaysia ada (helikopter) sebagainya.

"Saya kena tunggu laporan dan ambil maklum helikopter itu memang tak dapat disediakan (syarikat kontraktor) dalam masa yang ditetapkan, jadi keputusan akan dibuat.

"Kita sudah tahu, syarikat (terbabit) tak dapat ikut apa yang telah ditetapkan. Itu sebab saya perlu ada dalam mesyuarat (untuk mengetahui caj dan penalti)," katanya.

Beliau berkata demikan ketika ketika diminta mengulas perkembangan terkini sewaan helikopter Black Hawk pertama yang lewat.

Terdahulu, Mohamed Khaled menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) tahun 2024 kepada 475 veteran dan wakil veteran, di sini, hari ini.

Semalam, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dilaporkan berkata, TDM akan mengusulkan pembatalan kontrak sewaan helikopter Black Hawk TDM kepada Kementerian Pertahanan ekoran kelewatan penghantaran pertama helikopter berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2024 @ 2:10 PM