Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Datuk Saiful Azly Kamaruddin. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD
Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Datuk Saiful Azly Kamaruddin. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis Kontinjen Kuala Lumpur tidak terkecuali mengambil tindakan termasuk buang kerja terhadap pegawai dan anggota melakukan kesalahan tatatertib serta salah laku jenayah.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya sudah mengenal pasti pegawai dan anggota terbabit kesalahan berkenaan dan tindakan akan diambil.

Menurutnya, siasatan secara menyeluruh dilakukan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) sebelum tindakan susulan dilaksanakan termasuk kemungkinan dibuang kerja.

"Kalau ada salah laku, JIPS akan panggil anggota terbabit untuk siasatan.

"Setiap kesalahan dilakukan akan dibuka kertas siasatan dan JIPS meneliti sebelum tindakan seterusnya diambil. Kalau perlu buang, kita akan buang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan tindakan Polis Johor mendedahkan seramai 46 anggota di negeri itu ditamatkan perkhidmatan kerana terbabit pelbagai jenayah dan salah laku sepanjang tahun ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, JIPS Johor membuka 230 kertas siasatan tatatertib membabitkan 32 pegawai kanan, 246 pegawai rendah dan dua pegawai awam dengan 154 kes salah laku serta 45 kes berkaitan dadah.

Mengulas lanjut, Azly berkata, setiap hukuman akan ditentukan berdasarkan tahap kesalahan dilakukan anggota terbabit.

"Hukuman yang dilaksanakan akan berdasarkan tahap tinggi dan rendah kesalahan dilakukan, sebagai contoh enam anggota polis yang ditangkap sebelum ini turut dicadangkan untuk dibuang kerja.

"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota terbabit kesalahan dan tindakan agresif akan dilakukan oleh pihaknya selain tindakan mengikut peruntukan undang-undang di mahkamah yang dihadapi mereka," katanya.

Ditanya adakah ramai pegawai dan anggotanya yang dikenakan tindakan tatatertib tahun ini, beliau enggan mendedahkan jumlah sebenar buat masa ini dan akan mengumumkan perkara itu pada Januari depan.

Katanya, tindakan pihaknya selari hasrat Ketua Polis Negara yang mahukan anggota memalukan dan mengaibkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diambil tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 1:53 PM