Omar Ahmad


Johor Bahru : Sebanyak 230 kertas siasatan tatatertib dibuka Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Johor (JIPS) sejak Januari tahun ini hingga hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jumlah kertas siasatan tatatertib itu membabitkan 32 pegawai kanan, 246 pegawai rendah polis dan dua pegawai awam.

Katanya kes salah laku paling tinggi iaitu 154 kes diikuti kes dadah membabitkan 46 kertas siasatan tatatertib.

"JIPS Johor juga membuka sebanyak 161 kertas tatatertib membabitkan 78 pegawai kanan dan 152 anggota pangkat rendah berkaitan tomahan dan surat layang.

"Hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak JIPS juga seramai 32 pegawai dan anggota telah diambil tindakan tatatertib di bawah peraturan 37 iaitu dengan tindakan buang kerja atau turun pangkat.

"162 pegawai dan anggota yang telah diambil tindakan tatatertib di bawah peraturan 36 (tindakan bukan tujuan buang kerja atau turun pangkat) dan seramai 37 pegawai dan anggota diambil tindakan tatatertib di bawah peraturan 33( sabitan mahkamah)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Menurut Ayob Khan, sehingga kini 45 pegawai kanan dan anggota ditahan kerja, 14 anggota digantung kerja dan 46 anggota dibuang kerja membabitkan pelbagai kesalahan jenayah dan salah laku.

"Kami juga mengesan seramai 22 pegawai dan anggota yang mempunyai rekod jenayah lampau termasuk yang dikesan merupakan orang yang dikehendaki sebelum memasuki perkhidmatan kepolisan. Mereka ini sedang berkhidmat dan akan diambil tindakan.

"Pihak kami juga mendapat aduan berkaitan salah laku sukarelawan polis (PVR) yang merupakan unit sokongan atau bantuan dalam PDRM. Hasil semakan latar belakang 829 anggota PVR kontinjen Johor mendapati dua pegawai PVR dan 42 anggota PVR mempunyai rekod jenayah semasa dalam perkhidmatan PVR.

Jelas Ayob Khan, sehingga kini pihaknya menerima 499 pengaduan melalui sumber aduan dalaman dan orang awam berhubung salah laku atau ketidakpuasan hati terhadap pegawai dan anggota polis Johor.

"JIPS juga telah membuat kajian dan semakan ke atas setiap balai polis dan setiap bahagian dalam ibu pejabat polis daerah di seluruh kontinjen negeri ini. Hasil siasatan mendapati terdapat empat buah balai polis dan satu bahagian di sebuah ibu pejabat polis daerah yang mana anggotanya melebihi 30 peratus mempunyai masalah rekod intergirti lampau yang serius berpotensi akan menjadi masalah kepada balai dan cawangan berkenaan.

"Jumlah keseluruhan keanggotaan di balai dan cawangan tersebut adalah seramai 263 pegawai dan anggota. Mereka yang telah dikenal pasti ini akan mengikuti program yang melibatkan sesi kaunseling dan runding cara oleh Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) Johor kerana dikhuatiri mereka ini akan melakukan kesalahan berulang dan jika perlu mereka ini akan ditukarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 3:22 PM