Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Tindakan tatatertib akan diambil terhadap ketua polis daerah, ketua bahagian, pegawai penyiasat kanan serta pegawai penyiasat di negeri ini jika ada kelemahan dalam aspek penyeliaan kertas siasatan.

Itu janji Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang masih tidak berpuas hati dengan tahap penyeliaan kertas siasatan daerah membabitkan kes jenayah, narkotik serta komersil.

Menurut beliau, antara kelemahan yang dikesan hasil semakan dan pemeriksaan mengejut dijalankan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor termasuk, kertas siasatan yang sudah mendapat arahan tuduh di mahkamah daripada Timbalan Pendakwa Raya hampir tujuh bulan, tetapi tidak diambil tindakan oleh pegawai penyiasat.

Sehubungan itu, Ayob Khan berkata, pasukan petugas khas dari IPK Johor akan dihantar bagi membuat pemeriksaan mengejut ke atas kertas siasatan di semua daerah di negeri ini, mulai bulan depan.

"Ada pegawai penyiasat tidak menghantar kertas siasatan untuk edaran pertama dalam tempoh 24 jam dan ada kes tertentu tiada pengedaran kes dalam tempoh tiga bulan.

"Ada pula pegawai penyiasat tidak edarkan kertas siasatan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya walaupun sudah mendapat laporan kimia dan patalogi menyebabkan tiada waran tangkap dipohon sehingga orang kena tuduh (OKT) gagal dikesan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Amanat Ketua Polis Johor dan laporan prestasi 2020 hari ini.

Menurut Ayob Khan, ada juga kes pegawai penyiasat kanan atau ketua bahagian yang tidak teliti dan memberi arahan terlalu ringkas kepada pegawai penyiasat sehingga berlaku ketirisan pada kertas siasatan.

Kegagalan itu pula memberi kesan besar membabitkan rekod jenayah suspek atau banduan.

"Ini adalah punca utama mengapa ada pesalah yang dijatuhi hukuman tetapi melepasi tapisan keselamatan pihak berkuasa dan ada dalam kalangan mereka ini masih bekerja dalam sektor awam, swasta, termasuk dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, pasukan petugas khas dari IPK Johor yang dihantar bagi membuat pemeriksaan mengejut ke atas kertas siasatan di semua daerah negeri ini, akan memeriksa sekiranya terdapat kelemahan penyeliaan kertas siasatan daripada semua peringkat.

Menurut beliau, jika ada kelemahan yang dikesan pada penyeliaan kertas siasatan sama ada di peringkat pegawai penyiasat, pegawai penyiasat kanan, ketua bahagian dan ketua polis daerah, semuanya akan dikenakan tindakan tatatertib tanpa tolak ansur.

"Apa yang jelas di sini adalah kurangnya penyeliaan di peringkat daerah dan ini adalah fakta, seharusnya tiada lagi alasan kerana semua peringkat berkenaan berpengalaman luas dalam bidang dan tanggungjawab masing-masing.

"Saya boleh bertolak ansur dan mempertahankan anggota dan pegawai saya dalam isu di atas tetapi dalam konteks rasuah, salah laku dan bersekongkol dengan penjenayah, dadah dan penyeliaan, tiada tolak ansur dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi," katanya.

Pada perkembangan lain, Ayob Khan berkata, pihaknya akan terus menumpukan usaha untuk membanteras aktiviti jenayah, dadah, gangsterism, penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) serta isu keselamatan dan ketenteraman awam.

"Tiada tolak ansur terhadap sebarang aktiviti jenayah dan anasir yang boleh mengancam keselamatan awam di Johor.

"Kami akan memastikan elemen 'fear of crime' dikurangkan dan dihapuskan terus dalam kalangan masyarakat Johor, bukan sekadar pada indeks petunjuk prestasi (KPI) malah membabitkan penurunan statistik jenayah," katanya.

AYOB Khan. FOTO Arkib NSTP
AYOB Khan. FOTO Arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2021 @ 2:58 PM