Ahmad Hamzah
Ahmad Hamzah
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menjenamakan semula agromakanan dengan pertanian moden merupakan antara usaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) menggalakkan pembabitan bakat muda dalam sektor pertanian.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, ia termasuk membabitkan mekanisasi, automasi dan Internet benda (IoT) bagi meningkatkan pengeluaran sekali gus meningkatkan pendapatan.

"Selain itu, mewujudkan sumber tenaga industri yang optimum melalui pengintegrasian siswazah dan pekerjaan sebenar dengan latihan amali dan perantisan," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) yang meminta Mafi menyatakan pelan strategik untuk meremajakan sektor pertanian supaya dapat menarik minat generasi belia dan melahirkan lebih ramai usahawan tani muda.

Ahmad berkata menyedari golongan muda lebih terbuka menerima teknologi terutama dalam era IR4.0, kementerian merancang membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor pertanian.

Beliau berkata antara pelan tindakan yang dirancang ialah membangunkan pangkalan data tenaga kerja bagi tujuan data analitik untuk perancangan tenaga kerja dan menggalakkan serta memudah cara universiti dan pakar tempatan untuk menerima pakai program latihan yang holistik.

"Selain itu, ia juga termasuk membangunkan modal insan dan kepakaran untuk menyokong pelaksanaan teknologi baharu; menyediakan platform biasiswa dalam bidang agromakanan dan menaik taraf pusat latihan agromakanan dan universiti dengan kemudahan dan kelengkapan moden ICT dan rangkaian," katanya.

Beliau berkata langkah lain ialah membangunkan program peralihan untuk siswazah bukan pertanian bagi yang berminat untuk menceburi sektor agromakanan; dan melatih serta menggaji siswazah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai ejen pemindahan teknologi.

Mafi juga turut meneruskan pelaksanaan Program Agropreneur Muda yang terbukti berjaya membantu golongan muda dalam bidang pertanian melalui bantuan geran, pinjaman dan latihan, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 2:36 PM