ANTARA usahawan yang membuka gerai jualan.
ANTARA usahawan yang membuka gerai jualan.
(DARI kiri) Azizul, Mohd Zakaria, Romaizi dan Zamri berkongsi pengalaman selepas menerima Anugerah Kor Tani Jaya.
(DARI kiri) Azizul, Mohd Zakaria, Romaizi dan Zamri berkongsi pengalaman selepas menerima Anugerah Kor Tani Jaya.
Oleh Mohamad Hussin


Golongan belia sentiasa diberikan tumpuan manakala perkembangan dan pembangunan golongan itu diambil berat kerana mereka aset dan tonggak penting negara.

Ini kerana belia mempunyai identiti dan kekuatan tersendiri yang memerlukan strategi khusus agar tenaga mereka dapat disalurkan ke arah menjadikan Malaysia lebih produktif dan kompetitif.

Dalam sektor pertanian, golongan belia sangat diperlukan bagi menggerak dan memesatkan pertumbuhan ekonomi, sekali gus dapat menjana pendapatan.

Justeru, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mewujudkan Unit Agropreneur Muda (UAM) bagi menggalakkan pembabitan golongan muda dalam sektor pertanian dan industri asas tani (IAT).

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Tan Sri Zainal Dahalan berkata, pembabitan golongan muda dalam sektor pertanian sangat diperlukan sebagai pelapis kepemimpinan Pertubuhan Peladang (PP).

Beliau berkata, berdasarkan pecahan keahlian ahli peladang mengikut usia, pembabitan golongan berusia 40 tahun ke bawah hanya 15 peratus.

“Oleh itu, kita perlu golongan muda untuk meremajakan PP bagi menjamin kesinambungan petani yang meneruskan aktiviti pertanian.

“Ini termasuk membawa perubahan minda ke arah permodenan sektor pertanian dengan mengaplikasikan kaedah moden seperti pengurusan teknologi dan mekanisasi moden.

“Pengurusan ladang secara komersial, sistem pentadbiran dan pemasaran serta menambah bilangan ahli PP,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Meremajakan PP di Menara LPP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha MOA, Datuk Azini Mohd Shahid, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Seri Saipolbahari Suib dan Ketua Pengarah LPP, Datuk Mohd Salim Taha.

Zainal berkata, bagi menarik lebih ramai golongan muda menyertai bidang pertanian, beberapa inisiatif diwujudkan.

“Antaranya, kumpulan Kor Tani, Ahli Kelab Usahawan Siswazah Tani (MyAgrosis), kumpulan Peladang Nita dan kelab pertanian sekolah di seluruh negara.

“Ahli Kor Tani terdiri daripada petani muda, anak ahli PP, persatuan nelayan, peserta pasar tani dan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).

“Mereka disyaratkan menjadi ahli PP di kawasan masing-masing sebagai persediaan mentadbir PP pada masa akan datang. Buat masa ini, ahli Kor Tani seramai 14,471 orang di seluruh negara,” katanya.

Menurutnya, objektif Myagrosis pula bagi melahirkan generasi usahawan siswazah tani moden yang berdaya saing, berkaliber serta kreatif mengamalkan pelbagai teknologi pertanian.

“Kelab ini dikembangkan membabitkan 20 institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara. Setakat ini, jumlah keahlian 11,853 pelajar.

“Komponen utama pembangunan projek Myagrosis tertumpu kepada agro ladang (tanaman, ternakan dan akuakultur), agro niaga, agro inovasi, latihan, lawatan, promosi, penyelidikan, pembangunan, pemantauan dan penilaian,” katanya.

Pada majlis itu, empat usahawan menerima anugerah Kor Tani Jaya dalam empat kategori sempena Sambutan Ulang Tahun LPP ke-43 dengan masing-masing menerima sijil penghargaan serta wang tunai RM2,000.

Mereka ialah Mohd Zakaria Ahmadin bagi kategori Kor Tani Jaya sektor tanaman padi dan tanaman singkat masa, Zamri Ali (kategori ternakan - itik telur), Azizul Akmal Jamaludin (kategori IKS sektor sejuk beku) serta Romaizi Mustafa (lebah kelulut).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 11:15 AM